KUALA LUMPUR, 1 April:

Orang ramai hari ini bingung dan berang apabila pembelian kad tambah nilai pengguna perkhidmatan prabayar dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Mereka dilihat membuat aduan mengenai perkara tersebut di laman Twitter GST Malaysia Info dengan menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Mozas My berkata caj yang dikenakan tersebut adalah terlalu keterlaluan.

“Mungkin saya akan boikot syarikat telekomunisi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Al Tarmizi pula memberitahu harga tambah nilai di kedai serbaneka terkemuka di Malaysia telah dikenakan GST dan minta pihak berkuasa ambil perhatian.

Sebelum ini, terdapat penyebaran surat pekeliling yang dikatakan daripada Pengarah GST Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy yang mengatakan harga jualan kad prabayar telah mengandungi elemen cukai perkhidmatan.

Menerusi surat berkenaan, pihak telekomunikasi sepatutnya mengekalkan harga jualan kad prabayar seperti mana harga RM5, RM10, RM30, RM60 dan RM100.

Namun begitu, berdasarkan pemerhatian The Rakyat Post, senario yang berlaku pada hari pertama pelaksanaan GST adalah sebaliknya apabila kad tambah nilai telah dikenakan GST sama ada dibeli di kedai serbaneka atau melalui perbankan dalam talian.

Malah orang ramai turut memuat naik gambar resit pembelian kad prabayar berkenaan di laman sosial yang menunjukkan mereka terpaksa membayar lebih untuk kad prabayar berkenaan.

Perkara yang sama turut berlaku sekiranya orang ramai ingin membeli tambah nilai melalui aplikasi perbankan dalam talian seperti Maybank2u atau CIMB Clicks yang mana caj enam peratus turut dikenakan ke atas setiap pembelian.

Situasi yang berlaku tersebut bagaimanapun berbeza dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menerusi laman Twitter miliknya, KPDNKK memberitahu semua harga tambah nilai prabayar adalah kekal seperti sebelum ini.

Jika lebih mahal, aduan boleh dibuat melalui talian 1800-886-800 atau laman web eaduan.kpdnkk.gov.my.