KUALA LUMPUR, 31 Mac:

Rakyat Malaysia yang ingin ke Pasar Sehari Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis kini perlu perlu membawa dokumen perjalanan yang sah sama ada pas sempadan atau pasport.

Jabatan Imigresen Malaysia hari ini memberitahu, Zon Aliran Bebas (Free Flow) Wang Kelian di Pos Imigresen Wang Kelian diberhentikan berkuatkuasa pada 1 April 2015.

“Oleh itu, semua warganegara Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk sempadan melalui Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis, perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketika ini, rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Perlis bebas untuk membeli-belah di kawasan Wang Prachan, Thailand tanpa perlu membawa dokumen perjalanan.

Namun begitu, ia dihadkan untuk jarak sejauh dua kilometer sahaja dari pintu sempadan Malaysia-Thailand iaitu di kawasan pasar sehari tersebut sahaja.

Pasar sehari atau lebih dikenali sebagai nat di Perlis juga turut menjadi tarikan pelancong dari seluruh negara khususnya kaum wanita membeli belah terutamanya pada hari Ahad.

Pasar Ahad Wang Kelian juga menjadi salah satu lokasi pelancongan dan juga membeli-belah di portal rasmi Kerajaaan Negeri Perlis

Namun begitu, rata-rata penduduk tempatan tidak bersetuju dengan pengumuman yang diumumkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia tersebut.

Menurut Zaidi Razali, 32, keputusan tersebut dilihat akan menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan di Pasar Sehari berkenaan.

Katanya, pasar berkenaan menjadi salah satu lokasi tumpuan orang ramai termasuk orang luar daripada terutamanya pada hujung minggu dan sekiranya mereka perlu membawa pasport ia dilihat sedikit menyukarkan.

“Kebanyakan mereka yang datang merupakan kaum hawa dan juga warga emas dan mungkin kebanyakan mereka tidak mempunyai pasport atau pun pas sempadan.

“Sumber ekonomi utama di Wang Kelian adalah berniaga dan sekiranya kerajaan tetapkan sedemikian ia mungkin akan menyebabkan orang ramai kurang ke sana sekaligus menjejaskan perniagaan peniaga tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hakiim Azizan, 26 pula memberitahu, selain daripada kompleks beli-belah di Padang Besar, pasar sehari berkenaan merupakan destinasi pelancongan utama di Perlis.

Jelasnya, tindakan berkenaan mungkin akan menjejaskan kedatangan pelancong luar ke Perlis tetapi sekiranya ia dilakukan atas faktor keselamatan mungkin ia merupakan tindakan yang wajar.