PETALING JAYA, 30 Mac:

Pejabat sebuah portal The Malaysian Insider (TMI) diserbu polis dan lebih 10 pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), petang tadi.

Sementara itu Portal MalaysiaKini melaporkan, serbuan tersebut susulan laporan TMI yang menyebut Majlis Raja-Raja Melayu menolak hudud.

Difahamkan editor kanan Lionel Morais, Amin Iskandar dan Zulkifli Sulong akan diambil kenyataan dan ditahan di lokap Balai Polis Jinjang di bawah Akta Hasutan.

Pada 25 Mac lalu, TMI mengeluarkan laporan mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, undang-undang persekutuan yang perlu dipinda kerajaan Pas Kelantan bagi pelaksanaan hudud.

Pada hari yang sama, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan dengan menyangkal laporan TMI.

Jurucakap SKMM ketika dihubungi mengesahkan serbuan tersebut namun enggan mendedahkan sebab serbuan itu dilakukan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan serbuan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman membuat serbuan di pejabat TMI kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Menurutnya, tiga lelaki ditahan iaitu Lionel Andrew Morais, 47 (Editor Bahasa Inggeris), Amin Shah Iskandar, 35 (Editor Bahasa Melayu) dan Zulkifli Sulong, 52 (wartawan dan editor) dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan 233 Akta Komunikasi.

“Polis merampas komputer riba dan telefon untuk siasatan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Jinjang,” katanya.