KUALA LUMPUR, 25 Februari:

Keluarga bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein hari ini menolak khabar angin tentang harta peninggalan beliau dengan mengatakan Allahyarham seorang yang berjimat dan berintegriti.

Empat anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, Datuk Johari Razak, Datuk Nizam Razak, Datuk Seri Nazir Razak dan Datuk Nazim Razak, dalam satu kenyataan pada Selasa menyangkal spekulasi berhubung harta pusaka yang ditinggalkan oleh bapa mereka.

Mereka telah merujuk bapa mereka sebagai seorang yang berprinsip, dan terkenal dengan sifat kesederhanaan.

“Kami amat bimbang dengan beberapa ‘posting’ dan artikel berita baru-baru ini yang telah menimbulkan spekulasi tentang harta pusaka peninggalan arwah bapa kami, Tun Abdul Razak.

“Kami secara rasmi ingin menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang berprinsip, terkenal dengan sifat kesederhanaan dan penuh integriti buat semua yang mengenali beliau dan sebarang kenyataan atau kesimpulan sebaliknya adalah sama sekali tidak benar dan akan membawa kepada kekeliruan terhadap beliau sebagai seorang yang menjadi memori kerana jasa dan pengorbanan untuk negara,” kata kenyataan itu.

Keluarga itu seterusnya berkata mereka akan berdepan dengan sesiapa sahaja yang cuba mencemarkan memorinya dengan apa motif sekali pun.

“Kami juga ingin menambah bahawa seluruh keluarga kami bersatu dalam isu ini,” kata keluarga itu.

Kenyataan dibuat ekoran artikel di dalam The New York Times, yang telah membuat spekulasi mengenai kekayaan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan anak sulung Tun Abdul Razak.

Kenyataan dikeluarkan beberapa hari selepas laporan The New York Times memetik kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri yang mengatakan kekayaan anak Alllahyarham, Datuk Seri Najib Razak, yang menjawat jawatan perdana menteri sekarang datang diwarisi daripada peninggalan keluarganya.

Laporan The New York Times itu keluar selepas laporan mengatakan anak tirinya membeli hartanah mewah di New York, Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu mendakwa memetik Pejabat Perdana Menteri berkata: “Wang yang dihabiskan dalam pelancongan, pembelian barang kemas, dan kandungan peti besi mana-mana pun semuanya tidak luar biasa bagi seseorang dengan kedudukan Perdana Menteri dengan tanggungjawab dan aset warisan keluarga.”

Artikel tersebut menyebabkan ahli Parlimen DAP Tony Pua mempersoalkan punca kekayaan Najib, kerana ayahnya terkenal dengan sifat berjimatnya, lapor portal The Malaysian Insider.