PUTRAJAYA, 16 Februari:

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata beliau tidak beredar meninggalkan bilik mahkamah bila Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan ‘serangan’ terhadap beliau dan empat hakim lain yang mengekalkan sabitan sodominya, Selasa lepas.

“Pendekatan saya mudah. Bila saya rasa ia tidak adil, saya hanya beredar. Kami boleh tangguhkan perbicaraan dan itu yang saya lakukan. Menangguhkan perbicaraan.

“Saya ‘bukan cabut’. Saya tangguhkan perbicaraan untuk menenangkan suasana,” kata Arifin kepada pemberita sambil menyatakan beliau tidak mendengar apa yang diperkatakan Anwar pada hari itu.

Ditanya sama ada beliau ada berasa hati dengan Anwar, Arifin menjawab beliau tidak menyimpan ‘perasaan’ terhadap sesiapa dan beliau menjalankan tugasnya dengan penuh ikhlas.

Tentang sama ada akan diambil prosiding komital terhadap Anwar berikutan kenyataannya mengenai badan kehakiman semasa mitigasi pada 10 Februari lalu, Arifin berkata tidak ada komen, dan menegaskan itu hal lain dan beliau tidak tahu.

Pada 10 Februari lalu, Arifin dan empat hakim lain yang membicarakan rayuan Anwar terhadap sabitan sodominya beredar meninggalkan bilik Mahkamah Persekutuan bila pemimpin pembangkang itu menyelar mereka dari kandang tertuduh, menuduh mereka bersekongkol dengan tuan politik mereka.

Beberapa minit kemudian, hakim-hakim itu masuk semula ke bilik mahkamah dan menyampaikan keputusan mereka terhadap rayuan Anwar mengenai hukumannya, mengekalkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Awal hari itu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitannya.

Dalam ucapannya di majlis mengangkat sumpah jawatan hari ini untuk empat hakim yang masing-masing dinaikkan kedudukan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Arifin memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman.

Beliau berkata badan kehakiman terbuka kepada kritikan tetapi tidak akan membiarkan tuduhan tidak berasas di media sosial dan forum awam.

“Saya tegaskan bahawa mahkamah memandang serius sebarang tingkah laku yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Arifin berkata kritikan tidak berasas terhadap mahkamah akan melemahkan perjalanan kehakiman dan menghakis keyakinan awam terhadap institusi itu.

Beliau berkata serentak dengan penyebaran teknologi komunikasi, terdapat ramai dalam masyarakat yang tidak segan silu dan tidak rasa bersalah melemparkan sindiran tentang segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

‚ÄúSeolah-olah menganggap tindakan mereka dapat diterima bila mereka membuat kenyataan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube yang mempunyai pengikut yang semakin bertambah – sekalipun kritikan seumpama itu tidak ada justifikasinya, dan boleh dipersoalkan,” katanya.

Arifin mengingatkan hakim agar sentiasa menegak dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan membuat keputusan yang adil berasaskan prinsip undang-undang yang sah.