KUALA LUMPUR, 12 Februari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian ke ramahtullah pengulas sukan negara, Datuk Hasbullah Awang sebagai satu kehilangan besar buat peminat sukan negara.

Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12.20 tengah hari tadi.

“Baru dimaklum Datuk Hasbullah Awang telah pulang ke Rahmatullah. Selalu dengar ulasan Allahyarham. Kehilangan besar kepada peminat sukan. Al-Fatihah,” kata Najib di laman Twitternya.

Pengulas veteran itu meninggalkan isteri, Datin Hazida Alang Ahmad, 58, selain empat anak serta tujuh cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning, Shah Alam pada 6.40 petang ini.