KUALA LUMPUR, 12 Februari:

Kehilangan pengulas sukan negara, Datuk Hasbullah Awang dirasai oleh semua orang khususnya bagi mereka yang berada di dalam dunia sukan.

Pesuruhjaya Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zaiton Othman melahirkan rasa sedihnya dengan berita pemergian Allahyarham Hasbullah hari ini.

Menurut beliau, pemergian Hasbullah itu diumpamakan sebagai kehilangan anugerah besar buat negara.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Negara sudah kehilangan seorang pemberita sukan yang berpengalaman dalam bidang ini. Ini adalah satu kehilangan besar buat negara.

“Semoga pemberita lain dapat menerima banyak ilmu dan pengalaman dari beliau kerana memang saya akui beliau beruntung kerana mendapat anugerah Tuhan yang mempunyai suara yang begitu baik,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur pada 12.20 tengah hari ini.

Kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).