KUALA LUMPUR, 4 Februari: 

Saban tahun, sambutan Hari Kanser Dunia menggamit perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila kita sering dikhabarkan penyakit ini adalah pembunuh nombor dua dalam negara.

Namun, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) menyatakan statistik berhubung jumlah pesakit kanser di Malaysia masih belum dikemaskini sejak 2007.

Pengarahnya, Farahida Mohd Farid berkata berdasarkan statistik yang ada pada majlis itu, kanser payudara antara kanser yang tertinggi dihadapi oleh wanita Malaysia.

“Ini adalah masalah besar buat kita, kalau nak kata kanser pembunuh nombor dua negara, itu memang betul, tapi setakat statistik pada 2008.

“Kita tidak dapat statistik terkini untuk pesakit kanser, tapi berdasarkan statistik MAKNA, kanser payudara masih lagi kanser tertinggi yang dihadapi oleh wanita di Malaysia yang mana peratusan pesakit kanser bagi lelaki masih kekal pada tahap satu peratus,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post. 

Farahida berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan statistik terkini pesakit kanser di Malaysia bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada hari ini.

Presentation1
Antara aktiviti yang dijalankan bagi meningkatkan tahap kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kanser. – Foto MAKNA

Dalam perkembangan yang lain, beliau menjelaskan tahap kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kanser adalah semakin baik saban tahun.

Namun, jika dibandingkan dengan negara-negara luar, Malaysia masih lagi berada di tahap untuk mencegah atau mengawal penularan penyakit tersebut.

“Kita berada di dalam negara yang sedang membangun, sudah tentu kita berbeza dengan negara yang sudah maju. Dana yang kita ada terhad, jadi pendekatan yang kita guna juga adalah dengan kos yang efektif.

“Kalau negara-negara maju, mereka mempunyai banyak dana sehingga mereka boleh menjalankan kajian yang mana kita tahu itu menelan kos tinggi sebab perlunya ada makmal, pakar-pakar yang mengkaji dan sebagainya.

“Jadi kita lebih kepada pendekatan meningkatkan kesedaran dan melakukan pencegahan awal dengan mengadakan kempen ataupun ceramah-ceramah kepada masyarakat,” jelasnya.

MAKNA yang sudah ditubuhkan selama 20 tahun bertujuan untuk membantu pesakit kanser di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan rawatan pencegahan, sokongan kepada pesakit dan keluarga dan sebagainya.

Bagi tahun 2015, MAKNA akan menjalankan program kesedaran kanser dengan lebih agresif bagi mendekati seluruh lapisan masyarakat di dalam negara.

“Buat masa ini, kita sudah jalankan program yang bergerak secara mudah alih, kita nak buat lebih agresif yang mana satu lagi kita akan buat khusus untuk Sabah dan Sarawak, dan satu lagi pertambahan untuk Semenanjung.

“Program sebegini kita dah mula sejak 2011, sasaran kita adalah untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kerana mereka tiada akses kemudahan fasiliti untuk lakukan ujian semakan seperti mamogram,” katanya.