SEKRETARIAT Pakatan Rakyat (PR) malam tadi mengesahkan laporan bahawa Mesyuarat Majlis Pimpinan PR akan diadakan pada Ahad, 8 Februari 2015 ini, bersamaan 18 Rabiul Akhir 1436 Hijrah.

Pengesahan itu dibuat melalui satu kenyataan ringkas yang juga sekaligus merupakan jemputan kepada media untuk membuat liputan.

Dalam kenyataan mengggunakan nama Setiausaha Eksekutif Sekretariat PR, Shabrimi Sidek itu, mesyuarat tersebut, yang dinantikan banyak pihak, dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang bertempat di Ibu Pejabat PAS, di Jalan Raja Laut.

Ia dijangka dihadiri semua kepimpinan tertinggi PR yang akan membincangkan perkara berbangkit mengenai pakatan pembangkang itu, kata kenyataan berkenaan.

“Sekretariat percaya ini akan seterusnya mengukuhkan persepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat,” satu ayat dalam kenyataan sekretariat berkenaan yang menarik perhatian minda penulis untuk berfikir.

“Pihak media dijemput hadir membuat liputan pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut,” kata Sekretariat PR itu lagi dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu pada 1 Februari lalu, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu pimpinan dua parti sekutu dalam PR, iaitu PAS serta DAP supaya berhenti bertelagah dan menyelesaikan masalah berbangkit di meja rundingan.

Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, parti teras dalam PR berharap satu tarikh mesyuarat Majlis Pimpinan PR akan dapat dibuat sebelum 10 Februari.

Ini kerana pada tanggal 10 Februari, Anwar sendiri, yang cuba bertindak selaku “Jaksa Pendamai” bagi memastikan kesinambungan serta kelangsungan (survival) PR, perlu memutuskan pelan untuk dirinya sendiri, bergantung kepada keputusan rayuan terakhir kes kes liwat II beliau oleh Mahkamah Persekutuan.

DAP dalam reaksi kepada rayuan Anwar bagaimanapun memberi kata dua bahawa ia akan memberi komitmen untuk hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR itu jika PAS juga memberi jaminan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut serta.

Ini kerana Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sudah meluluskan resolusi bahawa kepimpinan tertinggi parti itu hanya akan hadir mesyuarat tersebut dengan kehadiran Hadi, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pada Selasa.

Hadi sebelum ini dikatakan sudah tidak hadir mesyuarat berkenaan sejak enam bulan lalu dan hanya mewakilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menghadirinya.

Sayugia diingatkan, perseteruan PAS dan DAP bukanlah bermula pada 1 Februari, ataupun tidak berapa lama sebelum tarikh Anwar menzahirkan rayuannya itu.

Sejarah persengketaan PAS-DAP sudah berakar umbi sejak sekian lama, dan jika boleh diberikan analogi, bagaikan kisah kisah krisis Timur Tengah di Asia Barat.

Sengketa PAS dan DAP yang bagaikan api dalam sekam bagi PR boleh dibaratkan “rahsia terbuka” (open secret) yang diketahui umum.

Kedua-dua parti tidak sehaluan dalam banyak isu dasar yang penting dan sensitif hinggakan sudah acapkali saling cabar mencabar antara satu sama lain agar keluar dari PR.

Antaranya DAP memang diketahui umum sanggup “memalu gendang perang” jika PAS berkeras mahu melaksanakan sistem perundangan Islam, terutama Hukum Hudud yang PAS pula sanggup “syahid” memperjuangkannya.

Manakala PAS pula sama sekali tidak menyokong hasrat DAP melaksanakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mendakwa sudah nampak maksud tersirat parti itu mahu menguasai kawasan majoriti penduduk Cina di bandar-bandar, sekaligus khuatir boleh mewujudkan masalah jurang ekonomi serta perkauman.

Kedua-dua parti berbeza matlamat itu selama ini bergabung di bawah PR semata-mata untuk menentang musuh yang sama (common enemy) iaitu Barisan Nasional (BN) menggunakan konsep “agree to disagree”.

“Agree to disagree” (setuju untuk tidak bersetuju) merujuk kepada satu keadaan di mana pihak bertelagah bersetuju untuk menghormati perbezaan pendirian masing-masing dalam sesuatu prinsip, demi untuk bergabung atas sesuatu matlamat, sekalipun ia tidak akan menyelesaikan pertikaian yang berpunca daripada perbezaan tersebut.

Berlandaskan hakikat itu, pada hemat penulis apa sekalipun yang bakal dibincangkan semua pihak terbabit dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PR 8 Februari nanti, “minyak dan air tetap tidak akan bercampur”.

Satu lagi kartun satira politik yang disiarkan di laman myKMU.net yang menggambarkan hubungan parti-parti sekutu dalam pakatan pembangkang disifatkan seperti retak menanti belah.
Satu lagi kartun satira politik yang disiarkan di laman myKMU.net baru-baru ini yang menggambarkan hubungan parti-parti sekutu dalam pakatan pembangkang disifatkan seperti retak menanti belah.

Konsep “agree to disagree” akan terus diguna dalam hubungan PAS-DAP di bawah PR.

Akan tetapi sampai kapankah ikatan hubungan menggunakan konsep berkenaan mampu kekal?

Pada hemat penulis lagi, status quo mungkin tidak akan kekal lama selepas 10 Februari ini.

Ia banyak tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan akhir kes liwat II Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh…atau barangkali mungkin juga kedua-dua parti itu mampu untuk “tidak bermusuh tetapi tidak juga berkawan” selagi ada brother Anwar.

Namun itu hanyalah telahan pada hemat penulis…

Hampir dua dekad bersama media cetak dan elektronik arus perdana, penulis kini adalah Pengarang Berita Bahasa Malaysia The Rakyat Post.