PUTRAJAYA, 28 Januari:

Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sentiasa bersedia membantu mereka yang diisytiharkan muflis, untuk keluar daripada kebankrapan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Shamsiah Chee Ros berkata, apa yang penting, individu itu perlu kekal positif, jujur dan bekerjasama rapat dengan jabatan itu, sejurus mendapat perintah kebankrapan.

“Tanggapan bahawa muflis adalah penghujung hidup perlu diperbetulkan, sebaliknya ia harus sebagai pelindung, dengan individu terbabit bekerjasama dengan MdI, selaku pentadbir bagi melakukan penstrukturan semula hutang,” katanya yang dipetik Bernama.

Shamsiah turut menjelaskan, peranan MdI adalah mentadbir kes-kes kebankrapan, bukannya memberi status muflis kepada seseorang, seperti yang dilaporkan sesetengah media.

“MdI tidak membankrapkan individu…seseorang itu hanya diisytiharkan muflis melalui perintah mahkamah, sama ada melalui permohonan pemiutang atau individu itu sendiri,” katanya merujuk laporan media baru-baru ini yang menyatakan Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Beliau berkata, jabatan itu hanya akan memainkan peranannya, selepas mahkamah mengeluarkan perintah muflis kepada seseorang, yang mana dari segi undang-undang, Ketua Pengarah Insolvensi menjadi pentadbir kepada asetnya, seterusnya memantau dan menyelia kelakuan bankrap.

Shamsiah berkata, MdI memerlukan kerjasama daripada mereka yang diisytiharkan muflis, kerana satu daripada cara untuk mengeluarkan mereka daripada status muflis adalah melalui laporan jabatan itu kepada mahkamah.

Jelasnya, status kebankrapan dapat ditamatkan melalui tiga cara dan antaranya, mereka yang berhutang membuat permohonan pelepasan ke mahkamah, menyatakan hutang telah dijelaskan berserta laporan MdI yang menyatakan kelakuan dan kerjasama penghutang kepada jabatan.

Katanya, status muflis juga boleh ditamatkan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi yang boleh dipohon, selepas pentadbiran kes kebankrapan dijalankan selama lima tahun.

“Sebab itu, suka saya ingatkan, yang diisytihar muflis perlu datang, beri kerjasama supaya pentadbiran kes dapat dijalankan lebih teratur dan percepatkan proses pelepasan kebankrapan mereka,” katanya.

Jelasnya, individu muflis di negara ini enggan datang kepada MdI, berbanding di negara maju, seperti Amerika Syarikat, yang mana individu bankrap akan bekerjasama dengan agensi berkenaan.

Shamsiah berkata, seramai 50,242 individu bankrap telah dilepaskan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi, sejak 2007 hingga akhir tahun lalu.