KUALA LUMPUR, 27 Januari :

Lizard Squad, yang sedang dalam usaha untuk melumpuhkan laman web Malaysia Airlines (MAS) awal pagi semalam, hari ini mendakwa mereka bertanggung jawab menyebabkan gangguan secara meluas di beberapa laman media sosial, termasuklah Facebook dan Instagram.

Kumpulan itu mendakwa telah melumpuhkan akses Facebook dan Instagram, tetapi tidak Twitter. Twitter tidak terjejas kerana ia merupakan platform komunikasi pilihan mereka.

Perkhidmatan tersebut terganggu selama 40 minit di kalangan pengguna di Asia, Amerika Syarikat dan beberapa wilayah lain.

Kumpulan tersebut menulis dalam akaun Twitter mereka: “Sekiranya¬†kami tidak menggunakan Twitter untuk berkomunikasi”.

Selain itu, kumpulan penggodam itu juga membayangkan akan melakukan satu lagi serangan ke atas syarikat penerbangan tersebut.

Dalam Twitter mereka hari ini, kumpulan tersebut berkata, ” Lebih banyak yang akan datang. Nota tambahan: Kami masih mengatur untuk melumpuhkan emel @MAS, harap sabar menunggu”.

Semalam maklumat pelanggan MAS serta maklumat tempahan yang didedahkan selepas @LizardMafia (Lizard Squad) telah menaikkan twit berkaitan screenshot akaun emel.

Antara data pelanggan MAS yang didedahkan semalam adalah ‘Dato Sri Mustapa Mohamad’, yang dipercayai berkemungkinan besar Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terdapat juga screenshot tempahan yang dibuat oleh Cik Sze Kin yang mengandungi alamat emelnya, nombor telefon bimbit dan tempahan keseluruhan.

Kumpulan penggodam ini yang melumpuhkan laman web Malaysia Airlines (MAS) pagi semalam dikenali ramai selepas mereka turut menyerang Sony dan Microsoft tahun lepas.