KUALA LUMPUR, 25 Januari:

Segelintir pemilik kenderaan, termasuk yang berkedudukan dan berpendidikan tinggi masih mengggunakan nombor pendaftaran atau plat kenderaan ‘fancy‘ yang tidak mengikut spesifikasi walaupun tahu ia menjadi satu kesalahan, seolah-olah sengaja mencabar pihak berkuasa.

Terbaru, The Rakyat Post menerima sekeping gambar yang dikirim pembaca memaparkan sebuah kereta mewah dipercayai jenis Bentley berwarna perak menggunakan plat ‘fancy‘ sehingga nombor asalnya tidak dapat dikenalpasti.

Gambar yang dirakamkan pada Sabtu di lebuhraya di sekitar Lembah Klang itu menunjukkan kereta berkenaan menggunakan plat WNU, selain turut memasang logo menyamai kereta orang kenamaan (VIP).

Ketua Cawangan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi mengakui penggunaan nombor plat tidak mengikut saiz, terlalu rapat dan menggunakan bentuk huruf atau nombor yang tidak dibenarkan hingga menyukarkan pihak berkuasa mengenalpasti nombor pendaftaran sebenar kenderaan didapati semakin berleluasa terutama membabitkan motosikal serta kenderaan mewah dan yang diubahsuai.

“Pemilik kenderaan yang dikesan melakuan kesalahan tersebut akan diberi teguran dan dikenakan kompaun jika terus berdegil melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Alasan tidak tahu bahawa penggunaan nombor plat ‘fancy‘ menyalahi undang-undang tidak boleh diterima kerana ia bukan sesuatu yang baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Plate MOMMY-M
Imbas kembali keratan akhbar Berita Harian dramatis disaman guna plat MOMMY. – Foto arkib TRP

Mengenai penggunaan logo tertentu pada kenderaan juga perlu dilihat sebab ianya digunakan dan sama ada ia tersenarai sebagai logo yang dibenarkan.

Sebelum ini, dramatis Khaty Fauziah, ibu kepada pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu sebuah kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran ‘MOMMY’.

Nombor plat hasil olahan terhadap nombor plat asal MCM 1774 itu dipasang pada kereta jenis Audi A5 yang dihadiahkan oleh Sam kepada beliau.

Beliau bagaimanapun akur dengan kesalahan itu serta menasihati golongan artis dan seluruh anggota masyarakat agar mematuhi undang-undang kerana tiada sesiapapun yang mempunyai hak istimewa hingga tidak tertakluk kepada undang-unndang.