KUALA LUMPUR, 18 Januari:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyita buah epal jenis Granny Smith yang terdapat di premis pengimport selain mengarahkan pengimport supaya menarik balik produk itu dari pasaran berikutan dakwaan epal jenis itu dicemari bakteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, pihaknya mengambil maklum isu pencemaran bakteria “Listeria monocytegenes” pada buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat.

Katanya, KKM sedang bekerjasama dengan pihak United States Food and Drug Administration (USFDA) mengenai perkara ini selain mengenakan “pemeriksaan tahan, uji, lepas” ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran syarikat itu di semua pintu masuk.

“Ini berikutan isu pencemaran bakteria Listeria monocytegenes ke atas buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield, California, Amerika Syarikat yang digunakan dalam pengeluaran karamel epal yang dikesan oleh pihak USFDA seperti dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, makanan yang tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia telah rosak secara fizikal sama ada melalui penglihatan atau bau.

“Pengambilan makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis yang boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya dan ia berisiko bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah,” katanya.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun,merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebarang pertanyaan berhubung isu berkaitan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui:-

– Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)

– Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat

– laman web http://fsq.moh.gov.my

– facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq

Terdahulu, pada pagi Sabtu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan telah menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis.

Namun kementerian itu tidak dapat menarik balik produk itu dari pasaran dan premis pengimport kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa KKM.

Pada 15 januari lalu, The Rakyat Post turut menghubungi KKM untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung hebahan maklumat itu.

Namun jurucakap KKM ketika itu berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan dan maklumat diterima berhubung epal tercemar itu.

“Jika maklumat itu benar, pasti kami yang mengetahui dahulu. Buat masa ini, tiada sebarang laporan mengenainya.

“Saya sudah semak dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, memang tiada maklumat mengenai perkara itu,” katanya.