KUALA LUMPUR 12 Januari:

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan rasa tidak bersetuju dengan twit gertak dan menakut-nakutkan sebagai balasan twit kontroversial Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengenai khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Nik Nazmi berkata walaupun dia tidak bersetuju dengan Twitter yang ditulis oleh Eric, Jumaat lalu, respons yang diberikan tidak sepatutnya menunjukkan keganasan, menakut-nakutkan atau mengambil tindakan menggunakan Akta Hasutan.

“Ada dua perkara yang saya tidak bersetuju dengan Paulsen. Yang pertama walaupun ada terdapat kandungan dalam khutbah  Jumaat yang membimbangkan orang Islam dan bukan Islam di sini, ia tidak bermakna semua khutbah Jumaat oleh JAKIM adalah keterlaluan atau salah.

“Yang kedua, tidak semua khutbah yang mengandungi perkara kontroversial mendapat persetujuan JAKIM,” katanya dan menambah orang Islam perlu memberi tindakbalas mengenai syarahan yang tidak disetujui itu dengan memberi hujah yang bersebab.

Nik Nazwi walau bagaimanapun bersetuju bahawa Eric hanya mengkritik badan berkanun dan bukan agama Islam.

“Perlu diingatkan solat Jumaat adalah solat yang diwajibkan ke atas orang lelaki yang beragama Islam.

“Menurut Sheikh Hamza Yusuf, ia adalah pertemuan kita dengan Allah di mana orang Islam perlu berpakaian kemas, sama seperti tradisi orang beragama Kristian ketika menghadiri perhimpunan Ahad di gereja, maka orang Islam mengambil berat perkara ini,” katanya.

Nik Nazmi turut berkata sepatutnya isi kandungan khutbah Jumaat kembali kepada ajaran Islam iaitu mempertahankan keadilan, menggalakkan ketenteraman dan kesejahteraan untuk semua.

“Ia tidak sepatutnya dipergunakan untuk kepentingan politik, menggalakkan objektif berat sebelah pihak kerajaan,” katanya.

Eric, Jumaat lalu telah memuat naik twit yang mengatakan “JAKIM menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat,” dan kerajaan perlu menangani perkara ini sekiranya serius dalam membanteras ekstremisme dalam negara.

Semalam sekali lagi Eric menulis di Twitter bahawa dia mengkritik badan kerajaan itu dan bukannya agama Islam.

Namun, Twitter-nya yang pertama itu mendapat banyak respons yang mengkritiknya termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang membalas di Twitter-nya dan mengesahkan keputusan untuk menyiasat dakwaan Eric di bawah Akta Hasutan.