PEKAN, 12 Januari:

Walaupun hanya berselipar getah dan berpakaian biasa, ia tidak menghalang sebilangan pelajar di daerah ini yang terjejas akibat banjir untuk pergi ke sekolah masing-masing yang mula dibuka hari ini.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serambi, dekat sini seawal pukul tujuh pagi pelajar melangkah ke sekolah dengan penuh bersemangat ditemani ibu bapa dan kehadiran mereka disambut dengan ceria oleh guru-guru.

Guru Besarnya, Yusaini Mohd Paman berkata pihak sekolah berbangga dengan sikap pelajar yang memberikan komitmen untuk hadir ke sekolah hari ini meskipun ramai di antara mereka mengalami pelbagai kesulitan ekoran bencana yang dialami penduduk sekitar baru-baru ini.

“Petang semalam saya pantau masuk ke kampung-kampung dan berpesan kepada pelajar datanglah ke sekolah hari ini.

“Walaupun hari ini ada yang tak pakai pakaian lengkap, pihak sekolah bagi kelonggaran pada pelajar sebab kita faham ada pakaian seragam yang rosak akibat banjir.

“Ibu bapa pula tak sempat nak beli yang baharu sebab ada penjaga dan pelajar yang masih berada di pusat pemindahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aklima Azaliah Mohd Ramli, 9, dari Kampung Serambi dekat sini berkata walaupun banjir menenggelamkan hampir separuh rumahnya beserta pakaian seragam sekolahnya, namun ia sikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk datang ke sekolah hari ini.

“Tidak mengapalah…esok atau lusa baju dah kering saya pakailah…yang penting hari ini saya datang ke sekolah, jumpa semula kawan-kawan, sebab dah lama tak jumpa,” katanya.

Rakannya, Mohd Firdaus Abdul Latif berkata dia tetap hadir ke sekolah walaupun hanya mengenakan kemeja-T dan berseluar sukan memandangkan pakaian seragam sekolah yang dibeli oleh bapanya sebulan yang lepas hanyut dibawa arus banjir.

“Masa banjir tu saya tak sempat nak selamatkan baju sekolah sebab air naik sampai bumbung rumah…buku-buku dan peralatan tulis pun sama hanyut, hari ini saya pakai mana yang ada sajalah, yang penting saya hadir ke sekolah,” katanya.

Sementara itu bapa seorang murid di sekolah itu, Mohd Radzuan Jamaluddin berkata beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak sekolah kerana memberi kelonggaran kepada murid-murid yang terjejas akibat banjir untuk berpakaian biasa ke sekolah.

“Rumah saya di Kampung Pulau Rumput dinaiki air hingga paras dada…pakaian sekolah anak-anak pun ikut hanyut sekali…Alhamdulillah dapat bantuan RM100 yang diberikan kerajaan, saya akan gunakan untuk ganti baju dan beli semula peralatan persekolahan anak-anak saya,” katanya yang bekerja sebagai seorang mekanik.

Sementara itu di Temerloh Nurul Sarini Athirah Badrul Hisham , 10, pelajar Sekolah Kebangsaan Paya Ara di sini, berkata sebagai seorang pengawas jika boleh beliau ingin mematuhi peraturan sekolah dengan kemas memakai pakaian seragam.

Kedua orang tuanya Badrul Hisham Setapak, 55, dan Siti Ana Abdul Rashid, 40-an, bekerja sebagai penoreh getah dan masih belum mampu untuk membeli pakaian sekolah setelah rumah mereka di Paya Taram di sini, ditenggelami air sehingga paras bumbung, katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurut murid tahun empat itu adiknya Abd Rahman, 7, juga mengenakan pakaian biasa manakala pakaian seragam abangnya Abd Halim, 16, sempat diselamatkan semasa rumah mereka dinaiki air semasa bencana itu.