KUALA LUMPUR, 28 Disember:

Pesawat penerbangan Air Asia, QZ8501 yang hilang telah menjalani penyelenggaraan terakhir pada 16 November lalu.

AirAsia Indonesia dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sebelum pesawat Airbus A320-200 hilang daripada radar, kapten pesawat meminta menukar haluan berikutan cuaca buruk sebelum komunikasi dengan pesawat itu hilang.

“Kapten pesawat berkenaan mempunyai pengalaman selama 6,100 jam penerbangan manakala pembantu juruterbang mempunyai 2,275 jam penerbangan,” katanya.

Menurut Ketua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Bangka Belitung, Joni Superiadi, sebanyak lima buah kapal sudah digerakkan bagi mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

“Pada masa ini, cuaca di kawasan berkenaan mendung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jeneral Perhubungan Udara Indonesia, Djoko Murjatmojo berkata, minyak pesawat itu dapat bertahan hanya untuk 4 jam 40 minit.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak melalui Twitternya melahirkan rasa sedih mengenai kehilangan pesawat itu dan mengucapkan rasa simpati kepada ahli keluarga penumpang.

“Saya berasa sedih menerima perkhabaran ini. Saya mengucapkan simpati kepada semua ahli keluarga yang terlibat. Malaysia juga sedia membantu Indonesia,” katanya.

Dilaporkan, komunikasi terakhir pesawat itu sebelum meminta mengelak awan ialah berada dari ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki.

AirAsia mengesahkan jumlah penumpang berkenaan terdiri daripada 155 orang dengan 138 dewasa, 16 kanak-kanak, seorang bayi dan tujuh anak kapal.

Mereka terdiri daripada 147 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, seorang warga Singapura dan seorang rakyat Malaysia.

Pesawat AirAsia QZ8501 dari Surabaya, Indonesia ke Singapura terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 07:24 pagi ini.