KUALA LUMPUR, 26 Disember:

Program Malam Cinta Rasul akan diteruskan meskipun terdapat beberapa pihak yang mencadangkan agar ia dibatalkan.

Pengerusi Malam Cinta Rasul, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah berkata, program itu tetap akan diteruskan kerana mempunyai banyak pengisian agama dan dalam masa sama akan mengadakan kutipan derma untuk mangsa banjir.

“Saya tidak tahu mengapa ada pihak yang mempersoalkan penganjuran Malam Cinta Rasul sedangkan ia dipenuhi dengan pengisian agama dan untuk mengajak belia menyambut tahun baru berlandaskan syariat Allah.

“Antara pengisian pada malam itu ialah solat hajat, berzikir, berselawat dan seterusnya mengadakan kutipan derma untuk mengsa banjir dan jumlah dana yang terkumpul akan segera diserahkan kepada Media Prima untuk diagihkan,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurutnya, peruntukan untuk program itu juga sedikit berbanding peruntukan sambutan tahun baru sebelum ini.

“Sebelum ini,kos bunga api untuk sambutan tahun baru sahaja sudah mencecah jutaan ringgit, program kami ini pula hanya kurang daripada RM300,000 dan ia merupakan sebahagian daripada dana kami sendiri.

“Cuba fikirkan, jika kami menyerahkan peruntukan ini kepada mangsa banjir, mereka akan terima jumlah itu sahaja tetapi jika ia diteruskan, mereka akan menerima lebih daripada itu kerana anggaran pengunjung yang hadir adalah ramai,”ujarnya.

Katanya, sekiranya seorang pengunjung derma RM1, berkemungkinan jumlah dana yang terkumpul mencecah RM600,000.

“Pada program itu juga kita akan beramai-ramai mendoakan keselamatan mangsa banjir dan juga supaya bencana alam itu segera pulih. Kami juga akan mendoakan supaya tahun baharu yang akan menjelang tiba bermula dengan baik supaya negara sentiasa dalam keadaan sejahtera.

“Jangan dilupa, apa yang berlaku sekarang ini adalah kehendak Illahi, oleh itu kita mesti berdoa supaya dielakkan daripada perkara buruk. Oleh itu, saya merasakan tiada sebab untuk program ini dibatalkan kerana ia bukan sambutan tahun baru seperti sebelum ini yang penuh dengan hiburan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini sambutan tahun baru hanya mengajak belia ke kancah maksiat kerana terlalu banyak kondom terpakai yang dijumpai setelah tamat program.

Semalam, mantan timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata program selawat besar-besaran di Dataran Merdeka yang dijadual pada malam 31 Disember ini mungkin lebih bermakna sekiranya peruntukkan majlis diguna untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Selawat itu bagus. Tapi kalau duit untuk belanja majlis selawat besar-besaran diguna bantu mangsa banjir, mungkin lebih bagus,” katanya menerusi akaun Twitternya @saifuddinabd, pada Khamis.