KUALA LUMPUR, 26 Disember:

Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail bersetuju dengan kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah yang meminta peruntukan majlis Malam Cinta Rasul disalurkan kepada mangsa banjir.

Katanya, dia amat bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Saifuddin kerana berpendapat, dalam masa genting seperti ini, mangsa banjir perlu menjadi keutamaan kepada semua pihak.

“Selagi bencana alam ini belum reda, kerajaan perlu berjimat dalam semua hal kerana kita masih belum mengetahui jumlah sebenar kemusnahan. Terlalu banyak jalan yang rosak termasuk premis kerajaan dan juga swasta, kita pasti memerlukan banyak peruntukan selepas banjir pulih,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurutnya, melihatkan gambar-gambar tempat yang terlibat dalam banjir, dia menjangkakan kos membina semula segala infrastruktur yang telah rosak sememangnya tinggi.

Baginya, sambutan tahun baru boleh diadakan bergantung pada tahap kemampuan masing-masing, sama ada untuk diadakan secara individu mahupun berkumpulan.

“Tahun 2014 merupakan tahun yang sangat mencabar. Bermula dengan pesawat MH370 hilang, MH17 pula ditembak jatuh, puting beliung dan sekarang banjir yang melanda Pantai Timur serta beberapa negeri lain.

“Oleh itu, marilah kita berdoa mengikut agama kepercayaan masing-masing supaya tahun baru kita bermula dengan baik dan dijauhkan daripada bencana alam,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Tambahnya, pada masa yang genting ini, semua pihak perlu bersatu tanpa mengira fahaman poltik supaya dapat bersama-sama membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar turut bersetuju dengan pandangan yang diketengahkan Syed Rosli.

“Saya amat bersetuju peruntukan program itu disalurkan kepada mangsa banjir kerana mereka lebih memerlukan dana untuk membina semula kehidupan mereka,” ujarnya.

Dia yang dihubungi The Rakyat Post bagaimanapun berkata, program Malam Cinta Rasul boleh diadakan tetapi dengan skala yang lebih kecil dan tidak melibatkan peruntukan yang banyak.

Semalam, mantan timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata program selawat besar-besaran di Dataran Merdeka yang dijadual pada malam 31 Disember ini mungkin lebih bermakna sekiranya peruntukan majlis diguna untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Selawat itu bagus. Tapi kalau duit untuk belanja majlis selawat besar-besaran diguna bantu mangsa banjir, mungkin lebih bagus,” katanya menerusi akaun Twitternya @saifuddinabd, pada Khamis.