KUALA LUMPUR, 24 Disember:

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengisytiharkan darurat dengan segera di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan terutamanya di Hulu Kelantan.

Annuar juga mahu tentera digerakkan sepenuhnya kerana kenderaan dan peralatan untuk membantu mangsa banjir tidak mencukupi terutamanya di kawasan Laloh, Kampung Karangan dan Manek Urai di Kuala Krai.

“Majlis Keselamatan Negara diminta agar ambil tindakan secepat mungkin dan isytiharkan darurat di Kelantan. Kita hanya mampu berdoa dan teruskan komunikasi dengan siapa sahaja untuk tahu keadaan dan perkembangan mereka. Kelantan kita sedang menerima kesan teruk daripada cuaca buruk berserta fenomena kerosakan hutan di Hulu Kelantan.

“Doakan keselamatan mereka di Hulu Kelantan dan lain-lain, bersatu dan bermuafakat sedaya mungkin,” katanya di laman sosial Facebook beliau.

Dalam pada itu, Annuar ketika dihubungi The Rakyat Post memberitahu khabar angin yang tersebar mengatakan pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Manek Urai dinaiki air separas tiga tingkat bangunan sekolah terbabit adalah tidak benar.

“Saya juga menerima mesej begini dan saya telah bertanya untuk dapatkan pengesahan. Air cuma naik 8 meter di kawasan sekolah terbabit dan mangsa hanya dipindahkan ke tingkat satu bangunan sekolah tersebut.

“Saudara mara saya yang tinggal di kawasan tersebut juga mengesahkan tiada kejadian air naik hingga ke tingkat tiga bangunan sebagaimana yang didakwa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Azhar Mohd Yusuf ketika dihubungi memaklumkan tiada pengisytiharan darurat dibuat di negeri Kelantan setakat ini berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.

Menurutnya, semua laluan masuk ke negeri itu ditutup sejak malam tadi dan semua agensi terbabit masih dalam langkah berjaga-jaga.

“Malam tadi semua laluan masuk ke Kelantan terpaksa ditutup dan kami masih lagi dalam langkah berjaga-jaga untuk sebarang tindakan susulan jika hujan lebat berterusan.

“Namun setakat ini tidak perlu mengumumkan darurat kerana air sudah mulai surut di beberapa kawasan dan pagi tadi jalan di Gua Musang telah dibuka untuk laluan kenderaan ringan,” katanya.