GEORGE TOWN, 24 Disember:

Sukar untuk dipercayai, tiga hari lagi akan genap sepuluh tahun Malaysia dilanda tsunami, bencana alam paling teruk yang berlaku dalam sejarah Malaysia.

Satu dekad yang lalu, pada 26 Disember 2004, tsunami datang membadai dan menghanyutkan banyak rumah dan meragut banyak nyawa selepas gempa bumi berlaku di Lautan Hindi.

Hampir suku daripada satu juta orang maut dalam tragedi yang melanda Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Malaysia, Bangladesh, India, Somalia, Myanmar dan juga Maldives.

The Rakyat Post membuat tinjauan di beberapa bandar di Utara yang terlibat dalam tragedi bencana alam itu.

Insiden tsunami bukan sahaja masih segar dalam ingatan kepada mangsa yang terlibat sahaja malah kepada seluruh dunia.

Hari itu, langit cerah seperti biasa di Pulau Pinang, sehari selepas penganut agama Kristian menyambut Hari Krismas, dan tiada yang menyangka akan berlaku bencana alam yang mengubah hidup orang ramai buat selama-lamanya.

Sehingga hari ini, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Ruslan Taharin, 54, masih tidak dapat melupakan panggilan telefon yang membanjiri balai tempat dia bertugas.

Ruslan Taharin menunjukkan kawasan di Pulau Betong di mana anggota pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa tsunami.
Ruslan Taharin menunjukkan kawasan di Pulau Betong di mana anggota pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa tsunami.

Ruslan memberitahu The Rakyat Post bahawa pada hari itulah dia telah menerima panggilan kecemasan paling banyak sepanjang 30 tahun beliau bertugas sebagai anggota bomba.

“Ia merupakan saat yang sukar dan membingungkan kerana panggilan masuk tanpa henti melaporkan kemalangan jalan raya, kemalangan pantai dan banjir aneh di Balik Pulau dan Batu Ferringhi.

“Pada masa itu tiada siapa menyangka tsunami melanda Pulau Pinang. Saya begitu hairan mengapa terlalu banyak kejadian berlaku pada masa yang sama,” katanya.

Menurutnya, pada ketika itu, tiada sebarang persediaan dilakukan kerana ia hadir tanpa sebarang amaran.

“Mayat-mayat bergelimpangan di pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, Pantai Acheh, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.

“Tetapi itu bukan satu alasan untuk kami tidak membantu. Kami menggunakan segala kudrat untuk membantu mengutip mayat dan membantu mangsa-mangsa yang tersepit,” katanya.

Dia tidak dapat melupakan kejadian di Pantai Pasir panjang apabila menjumpai satu objek yang disangkanya sebagai anak patung yang memakai lampin, selepas memeriksa baharulah mengetahui bahawa ia sebenarnya mayat seorang bayi yang terperangkap selama 3 bulan di antara akar pokok dan bakau.

“Sehingga hari ini, setiap kali saya melihat bayi, pasti saya teringatkan mayat itu,” katanya.

Antara struktur binaan yang tinggal akibat tsunami pada 2004 di sepanjang Pantai Pasir Panjang, Pulau Pinang.
Antara struktur binaan yang tinggal akibat tsunami pada 2004 di sepanjang Pantai Pasir Panjang, Pulau Pinang.

Rakannya, Hamdan Harun yang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tidak boleh melupakan bagaimana dia terpaksa mendahulukan tugasnya melebihi keluarganya kerana rumahnya sendiri di Pulau Betong, Balik Pulau turut dilanda tsunami.

“Saya diberitahu oleh anak perempuan saya bahawa rumah kami dilanda tsunami. Apabila saya mendapat jaminan bahawa keluarga saya selamat, terus saya bergegas ke tempat kerja.

“Pada masa itu, kami mempunyai tenaga kerja yang terhad dan terpaksa bekerja sepanjang masa serta tidak dibenarkan pulang ke rumah kira-kira tiga minggu sehingga usaha mencari dan menyelamat selesai,” ujarnya.

Esok, The Rakyat Post akan bertemu dengan ‘bayi ajaib’ yang tidur di atas tilam dan dihanyutkan ke laut kemudian kembali ke dalam pelukan ibunya.