KUALA LUMPUR, 22 Disember:

Jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan pada sebelah petang menurun, begitu juga di Terengganu.

Di Kelantan, ia menurun kepada 16,125 orang berbanding 16,181 orang pada tengah hari.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mangsa ditempatkan di 53 pusat pemindahan sama seperti tengah hari.

Mereka yang berpindah membabitkan 5,330 keluarga.

Jajahan Pasir Mas masih merekod jumlah terbanyak iaitu 10,575 orang di 32 pusat pemindahan berbanding 10,264 orang pada tengah hari.

Di Tumpat, jumlah mangsa berkurang kepada 4,347 orang berbanding 4,634 pada tengah hari di tujuh pusat pemindahan.

Namun jumlah mangsa di Kuala Krai meningkat kembali kepada 443 orang berbanding 417 orang pada tengah hari di lima pusat.

Di Pasir Puteh (556 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (145 orang/tiga pusat pemindahan), Machang (19 orang/satu pusat pemindahan) dan Kota Bharu (40 orang/satu pusat pemindahan).

Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya sementara bacaan di tiga sungai utama kembali meningkat.

Sungai Galas di Dabong, Gua Musang mencatat bacaan 38.44 meter melepasi paras bahaya 38 meter, Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 37.3 meter (bahaya 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 26.53 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Golok di Rantau Panjang mencecah 10.42 meter melepasi paras bahaya 9 meter. Cuaca pada sebelah petang dilaporkan hujan lebat di kawasan pedalaman.

Di Terengganu jumlah mangsa menurun kepada 5,152 orang berbanding 5,205 orang pada tengah hari.

Dungun masih mencatat mangsa paling banyak iaitu 2,208 orang diikuti Kemaman (1,572), Hulu Terengganu (211), Besut (186), Kuala  Terengganu (917), Marang (36) dan Setiu (22).

Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, 50 pusat masih beroperasi iaitu 4 di Besut, Dungun (18), Hulu Terengganu (3), Kemaman (17), Kuala Terengganu (5), Setiu (2) dan Marang (1).