KUALA LUMPUR, 15 Disember:

Negara kehilangan seorang lagi tokoh seniman tanah air yang banyak berjasa terutamanya dalam dunia seni tanah air menerusi lakonan dan juga keaktifan beliau dalam persatuan.

Datuk Mustapha Maarof atau nama sebenarnya Mustapha Azahari Maarof, nama yang tidak asing lagi buat penggiat seni serta masyarakat di seluruh negara ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.35 pagi tadi akibat radang paru-paru di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Mustapha, 79, sebelum ini telah dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu selepas mengalami kesukaran bernafas akibat komplikasi masalah paru-paru.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang berdekatan pusara isterinya, seniwati Roseyatimah.

Menurut anak bongsunya, Mohd Rezainudden Mustapha Azahari, 38, sejak hari Jumaat lalu, mereka sekeluarga telahpun dipanggil oleh pihak hospital dan memberitahu keadaan ayah mereka semakin merosot.

“Menurut doktor yang bertugas ubat yang diberikan kepada ayah tidak memberi sebarang kesan dan keadaannya semakin teruk lebih-lebih lagi setelah buah pinggangnya tidak berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, pihak keluarga tidak membenarkan pihak hospital untuk mencabut alat bantuan pernafasan yang digunakan sehingga Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir.

“Alhamdulillah semua ahli keluarga sempat sampai sebelum Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sepanjang 12 hari.

“Sejak dimasukkan ke dalam ICU, arwah tidak sedarkan diri. Pada hari pertama di hospital, dua orang doktor pakar telah berjumpa ahli keluarga dan memaklumkan mengenai keadaannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Rezainudden memberitahu bahawa kesemua ahli keluarganya reda pemergian Allahyarham.

“Kata-kata terakhir Allahyarham pada saya adalah beliau teringat dengan arwah ibu, Roseyatimah Jasni. Arwah juga menasihati kami sekeluarga untuk merapatkan perhubungan.

“Sejak kehilangan arwah ibu kami, ayah saya membesarkan kami dengan tabah. ‘He done a good job‘ dan saya tinggal serumah dengan arwah,” katanya.

Selainnya, Allahyarham Mustapha turut meninggalkan dua lagi anak perempuan iaitu Suzlynna Mustapha Azahari, 50, dan Azlynna Mustapha Azahari, 45.

Menurut Azlynna, pemergian Allahyarham ini genap 27 tahun pemergian ibunya Roseyatimah yang pernah berlakon watak Cikgu Murni dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Beliau berkata, arwah ibunya meninggal pada 14 Disember 1987 dan bapanya pula meninggal pada 15 Disember 2015.

“Arwah minta dikebumikan sebelah pusara ibu. Alhamdulillah permintaan ini dapat dipenuhi,” katanya sambil menahan sebak.

Menurutnya, selepas ibunya meninggal dunia, Allahyarham Mustapha Maarof membujang selama 27 tahun.

Sementara itu, Datuk Yusof Haslam berkata, Allahyarham Mustapha Maarof merupakan seorang yang tabah dan kuat berpersatuan.

“Kali terakhir saya bertemunya adalah ketika arwah dirawat di hospital dan sebelum itu kami bersama membuat lawatan ke Miri, Sarawak dan Pulau Langkawi, Kedah.

“Pemergiannya membuatkan kita kehilangan seorang tokoh seniman negara. Beliau merupakan seorang pelakon yang paling berdisiplin, sangat mesra dengan orang dan tidak ego walaupun arwah seorang pelakon senior,” katanya.

Menurutnya, beliau sering bertukar-tukar pendapat dengan arwah sentiasa menasihati semua artis agar bersatu padu.

“Arwah merupakan seorang seniman yang mudah didekati dan beliau tidak dimusuhi kerana beliau sering menyelesaikan masalah secara bermuzakarah sehingga ada yang cuba ambil kesempatan terhadapnya.

“Kata-katanya yang terakhir adalah beliau memberitahu kepada saya bahawa kita ini orang filem, banyak berdosa dan menasihati agar kita berubah ke arah kebaikan.

“Semasa di hospital juga, arwah mengenggam tangan saya dengan erat,” katanya.

Turut hadir menziarahi keluarga allahyarham, penerbit filem Datuk Mustafa Ton dan isteri Datin Wardaningsih, Presiden Seniman Zed Zaidi, Amir Raja Lawak, Bell Ngasri dan beberapa rakan artis lain.