KUALA LUMPUR, 14 Disember:

Ketika mencari suaka politik di Sweden, aktivis sosial, Ali Abd Jalil juga dikatakan bertemu dua lagi rakyat Malaysia yang pernah mencetuskan kontroversi dan menjadi tajuk utama akhbar di Malaysia.

Berdasarkan beberapa status di Facebook yang dimuat naik Juli Jalaludin, Ali telah bertemu dengannya dan Adlin Abdul Jalil, malah mereka dilihat bersatu dalam ‘perjuangan’ menentang beberapa aspek kehidupan di Malaysia, sama ada institusi beraja atau agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Juli atau nama sebenarnya, Juli Sumardiati Mohd Jalaludin menjadi ‘terkenal’, apabila dia dikatakan mewujudkan laman Facebook ‘Murtads di Pantai Timur’.

Berdasarkan wawancara eksklusif dengan akhbar Harian Metro pada Mei 2014, Juli kini menetap di Norway dan bekerja sebagai perunding di sebuah syarikat minyak dan gas.

Wanita berusia 42 tahun itu, dipercayai murtad dan aktif menulis blog menggunakan nama pena Emilie de Strange, untuk menceritakan perjalanannya meninggalkan agama Islam.

Komuniti Internet yang marah dengan tulisannya yang dianggap tidak sensitif, telah mengambil inisiatif sendiri mengorek cerita lebih lanjut mengenai Juli, di mana sebuah artikel mengenai kejayaan Juli menjadi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik di Terengganu, dengan keputusan 7A1 dan 2A2, dikongsi.

Beberapa laporan polis pernah dibuat terhadap laman Facebook “Murtads di Pantai Timur” dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga pernah berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan.

Kerjasama antara jabatan dan kementerian diharap dapat memudahkan proses menangani isu berkenaan, kerana pentadbir laman berkenaan, dipercayai Juli, berada di luar negara, kata Jamil Khir.

Walaupun laman berkenaan telah ditutup, tiada laporan mengatakan tindakan telah diambil terhadap Juli.

Sementara itu, Adlin pernah mencetuskan kemarahan orang ramai dengan tulisan-tulisannya yang menggunakan nama pena “Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara”

Pada September 2011, pihak berkuasa dilaporkan mengenal pasti individu yang menggunakan nama samaran berkenaan dan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol), kerana individu itu tinggal di Sweden.

Komuniti Internet menjalankan siasatan sendiri dan mendapati, Adlin adalah individu yang bertanggungjawab menggunakan nama samaran berkenaan untuk menghina keluarga diraja dan Islam.

Tahun lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia membuat laporan polis terhadap Adlin, selepas dia didakwa memuat naik gambar yang menghina Islam.

Sejak itu, tidak banyak berita mengenai Adlin, selepas perhatian beralih kepada Juli pada awal tahun ini, kerana isu murtad.

Melalui Facebook Adlin, wanita itu masih lagi aktif dalam menghina Islam dari Sweden.

Pada 1 Disember lalu, Adlin memuat naik gambar pasport Sweden dan mendakwa ia kepunyaannya berserta keterangan: “Ini dia passport baru makcik! Sekarang makcik ialah warganegara Sweden dan Malaysia.”

Tambahnya lagi, memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan, dia mencabar Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong atau UMNO melucutkan kewarganegaraan Malaysia.

Adlin turut berkata, ramai yang bertanya bagaimana untuk berhijrah ke Sweden.

Sementara itu, Ali pula berkata, oleh kerana dia dilihat bersama kedua-dua wanita itu di Sweden, dia kini dilabelkan ‘kafir, murtad dan sesat’.

Dalam selfie yang diambil ketiga-tiganya, gambar itu berserta keterangan: “Berdating dengan lejen2 Malaysia’s most wanted.”

Tanpa tindakan susulan terhadap Adlin dan Juli, apakah langkah menarik balik pasport Ali dan penulis blog seks, Alvin Tan itu akan memberi impak?

Jurucakap Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas berkata, tidak dapat dipastikan sama ada Ali atau Tan akan diberi suaka politik, berdasarkan keutamaan.

Menurutnya, kes-kes permohonan suaka politik akan dikaji secara individu, walaupun berpeluang tinggi, kerana mereka bukan penjenayah yang mahukan keadilan.

“Pencari suaka politik biasanya dibiarkan oleh negara tempat mereka mencari suaka politik, kerana mereka dilihat hanya mempertahankan hak asasi mereka.

“Mereka hanya cuba melindungi diri daripada dianiaya dan kehidupan mereka diancam kerana mempertahankan pendirian mereka,” katanya.

Ahli Dewan Uundangan Negeri Teluk Intan yang juga peguam, Terence Naidu berkata, kepulangan mereka bergantung kepada mana-mana perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan negara tuan rumah.

“Perjanjian itu mengandungi syarat-syarat, di mana seseorang itu boleh diekstradisi, dan ia berbeza mengikut negara,” katanya.

Tambahnya, apabila suaka politik diberikan, ia bermakna negara tuan rumah bersedia melindungi pencari suaka itu.

“Malah, Interpol boleh menangkap dan membawa individu itu kembali ke negara asalnya,” katanya merujuk kepada ‘troll’ Ali, bahawa dia telah ditangkap Interpol untuk dihantar pulang ke Malaysia.