KUALA LUMPUR, 12 Disember:

Bagi menggalakkan ketelusan dalam UMNO, seorang pemimpin parti itu di Pulau Pinang membuat laporan terhadap syarikat millik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengenai dakwaan wujud aktiviti kewangan meragukan, termasuk pinjaman besar-besaran yang heboh diperkatakan, terutama oleh pembangkang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, 1MDB gagal memberikan penjelasan betul kepada orang ramai, berhubung dakwaan mengenai isu bon, ejen, aset serta hutang yang dibangkitkan pemimpin pembangkang, termasuk Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Khairuddin berkata, beliau akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan, sambil menegaskan semua laporan itu dibuat “atas kehendaknya sendiri.”

Khairuddin yang bertanggungjawab menerbitkan buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” tulisan Khalid Jafri pada 1998 berkata, beliau bertindak sendirian dalam melaporkan isu 1MDB pada Jumaat, sama seperti ketika beliau membuat pendedahan berhubung Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Anwar Ibrahim pada 1998.

“Ini adalah situasi yang sama,” kata Khairuddin kepada pemberita di luar Balai Polis Dang Wangi, pada petang Jumaat.

Buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” yang diterbitkan Khairuddin, diedarkan kepada perwakilan UMNO yang menghadiri perhimpunan agung parti itu pada 1998.

Khairuddin berkata, UMNO harus memperjuangkan kebenaran, jika ia mahu peluangnya terus hidup pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, UMNO berisiko ditolak kira-kira enam juta pengundi muda, jika wujud terlalu ramai ‘kaki ampu’ serta kurang kebebasan bersuara dalam parti berasaskan Melayu itu.

“UMNO harus dilihat sebagai adil dan akan menyatakan pendirian yang betul, atau ia tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat,” tegas Khairuddin.