KUALA LUMPUR, 11 Disember:

Tepat jam 1.35 petang hari ini pada 1993, Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang telah roboh akibat kejadian tanah runtuh yang membuatkan 48 orang terbunuh dan penduduk di dua blok lagi terpaksa berpindah atas kesalamatan.

Dibina mengikut fasa antara tahun 1974 dan 1982 di bahagian barat bukit, kondominium Highland Towers adalah kediaman mewah untuk golongan kelas sederhana atas, termasuk beberapa keluarga golongan ekspatriat.

Menurut laporan media, pekerja penyelamat di tempat kejadian telah berkata mereka mendengar ketukan dan suara sehingga hari ketujuh selepas Blok 1 kondominium itu runtuh, tetapi hanya tiga mangsa termasuk seorang bayi berjaya diselamatkan daripada runtuhan batu, itupun 24 jam selepas kejadian berkenaan dan seorang daripada yang diselamatkan itu, meninggal dunia di hospital.

Hanya seorang pembantu rumah Indonesia dan bayi berusia 18 bulan selamat dalam tragedi tragis berkenaan.

Antara yang terbunuh ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Carlos Rashid.

Carlos bersama isterinya Rosina Abu Bakar terbunuh dan mayat mereka ditemui beberapa hari selepas kejadian yang disebabkan tanah runtuh itu, kejadian yang diibaratkan seperti 200 buah jet jumbo menghentam Blok 1 kondominium itu.

Sebab tanah runtuh

Menurut laporan Wikipedia, ada aliran air kecil yang dikenali sebagai Sungai Timur yang mengalir ke kawasan Highland Towers sebelum pemaju membina sistem paip untuk mengubah aliran bagi pembinaan blok kondominium terbabit.

Pada 1991, satu projek pembinaan baharu dikenali sebagai Bukit Antarabangsa Development Project, memulakan pembinaan di bahagian atas bukit, belakang kondominium Towers.

Bahagian atas bukit telah dibersihkan menyebabkan hakisan tanah yang dikatakan faktor utama menyebabkan kejadian tanah runtuh.

Air daripada kawasan pembinaan disalirkan ke sistem paip sedia ada yang digunakan untuk mengubah aliran air Sungai Timur.

Sistem paip yang penuh dengan air, tanah dan lumpur daripada kawasan pembinaan menyebabkan paip pecah di beberapa lokasi menyebabkan air meresap ke tanah.

Hujan lebat pada Disember 1993 menyebabkan situasi semakin buruk dan tanah menjadi terlalu lembab dan menjadi lumpur.

Sebelum itu, pada Oktober 1992 kawasan bukit semakin lembab dan air dilihat mengalir turun dari cerun bukit dan dinding penahan.

Tidak lama selepas itu kejadian tanah runtuh menyebabkan tembok penahan runtuh. Kejadian tanah runtuh itu membawa lebih kurang 100,000 meter persegi lumpur.

Tanah runtuh menghentam asas Blok 1 menyebabkan ia tertolak ke hadapan. Selepas sebulan ditekan, asasnya runtuh dan pada November 1993, penduduk melihat ada kesan retak di jalan berdekatan Highland Towers sebagai amaran tragedi yang bakal berlaku.

Malang sekali, tiada siastan dibuat sebelum Block 1 Kondominium Highland Towers runtuh pada 11 Disember 1993.

Kronologi Highland Towers

Sebelum 1964: Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.

1964: Jabatan Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian. Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.

1974: Pembinaan bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat High Land Properties Sdn Bhd.

1978: Blok 1 Kondominium telah disiapkan dan diberi Certificate of Fitness (CF) oleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.

1981: Bangunan Blok 2 telah disiapkan dan CF dikeluarkan oleh MDG dan telah mula diduduki penghuni.

1986: Bangunan Blok 3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG. Ia telah mula diduduki penghuni.

1 Julai 1992: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap projek tersebut.

1993: MPAJ telah memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.

November 1993: Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni.

11 Disember 1993: Pangsapuri Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari.

Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan PBSMM datang lebih awal.

Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan bergoyang.

Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan, diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50, wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu, tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam.

Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalaman yang teruk.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri Kabinet datang melawat.

12 Disember 1993: Penghuni Blok 2 dan 3 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat.

Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu.

Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember 1993: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi.

15 Disember 1993: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu.

Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang.

Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.

Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember 1993: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember 1993: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam.

Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga, lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember 1993: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12.

Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers.

Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers.

Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

14 Oktober 1997: Bekas presiden PAM Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh, Wong Tin Sang tidak mempunyai kelayakan bagi melukis pelan bangunan setinggi 12 tingkat.

14 November 1997: Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh.

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong menuntut kerugian antara RM31 hingga RM35 juta.

Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab-Malaysian Finance Berhad, Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd