KUALA LUMPUR, 4 Disember:

Jalan berlubang disebabkan penurapan tidak sempurna atau projek pembinaan tidak mengikut piawaian, boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Tinjauan The Rakyat Post di sekitar ibu kota mendapati, beberapa jalan menghadapi masalah berlubang seperti Jalan Binjai, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak, Jalan Sri Rampai dan lain-lain.

Selain masalah itu, pengguna jalan raya juga terpaksa melalui jalan tidak rata yang boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko ditimpa kemalangan, khasnya penunggang motosikal.

Seorang penunggang motosikal, Mohd Fauzi Tahir, 38, berkata sejak kebelakangan ini, dia mendapati keadaan jalan di ibu kota semakin teruk dan berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Mohd Fauzi pernah terbabit dalam kemalangan, gara-gara cuba mengelak lubang ketika melalui Jalan Tun Razak. - Foto TRP/ Ahmed Syahril
Mohd Fauzi pernah terbabit dalam kemalangan, gara-gara cuba mengelak lubang ketika melalui Jalan Tun Razak. – Foto TRP/ Ahmed Syahril

“Keadaan jalan yang berlubang menyukarkan pemandu dan penunggang motosikal, apabila mereka tiba-tiba cuba mengelaknya tanpa mempedulikan kenderaan di sebelah atau di belakang mereka,” katanya.

Malah, dia sendiri pernah terbabit dalam kemalangan, gara-gara cuba mengelak lubang ketika melalui Jalan Tun Razak.

“Saya pernah kemalangan, kerana mengelak lubang berhampiran selekoh dan cedera di bahagian lutut, siku dan dagu.

“Lubang berhampiran selekoh boleh mengundang bahaya kepada pemandu dan penunggang motosikal yang secara tiba-tiba memperlahankan kenderaan untuk mengelaknya,” katanya.

Bagi Musa Ismail pula, 33, keadaan jalan berlubang bertambah teruk, apabila lori simen dan kenderaan berat turut menggunakan jalan terbabit.

Musa berkata, keadaan jalan berlubang bertambah teruk, apabila lori simen dan kenderaan berat turut menggunakan jalan terbabit. - Foto TRP/ Ahmed Syahril
Musa berkata, keadaan jalan berlubang bertambah teruk, apabila lori simen dan kenderaan berat turut menggunakan jalan terbabit. – Foto TRP/ Ahmed Syahril

“Masalah jalan berlubang seperti tiada kesudahannya di Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Pudu. Ia membahayakan, terutamanya pengguna yang pertama kali melalui jalan berkenaan, kerana tiada papan tanda amaran diletakkan.

“Saya pernah menyaksikan sebuah motosikal terperosok tayarnya ke dalam lubang dan mengakibatkan rim motosikal itu bengkok serta tayarnya pecah, manakala tuannya cedera parah,” katanya.

Pendapat itu turut disokong seorang lagi penunggang motosikal, Khairul Samsudin, 22, yang berasal dari Klang, Selangor.

Dia tidak menyangka terdapat sebuah lubang agak dalam di Jalan Binjai, berhampiran Menara Petronas KLCC yang dianggap ikon pembangunan negara.

“Saya baru pertama kali melalui jalan ini. Struktur jalan di sini tidak diturap dengan baik, menyebabkan saya terpaksa mengelak dan hampir melanggar lubang terbabit.

Khairul berharap PBT segera menangani masalah jalan berlubang. - Foto TRP/ Ahmed Syahril
Khairul berharap PBT segera menangani masalah jalan berlubang. – Foto TRP/ Ahmed Syahril

“Nasib baik saya bawa perlahan, jika tidak, mungkin rim motosikal saya sudah bengkok kerana melanggar lubang,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah itu dengan segera dan tidak membiarkan ia berlanjutan sehingga menyusahkan orang ramai.

“Kalau jalan rata dan tidak berlubang, barulah pengguna rasa selesa serta lebih selamat memandu,” katanya.

Pada Rabu, The Rakyat Post melaporkan jurucakap Ikatan Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurap jalan raya berlubang di sekitar ibu kota dengan kadar segera, bagi mengelakkan kemalangan maut berlaku.

“Kami berikan mereka tempoh sehingga 4 Disember (hari ini). Jika mereka masih tidak bertindak, maka kami akan menampal sendiri lubang tersebut, kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab kita bersama.

“Jalan raya selesa, kita pun suka. Lagi pun kita sama-sama bayar cukai,” tegasnya sambil menjelaskan, Brotherhood merupakan gabungan pelbagai kelab permotoran negara.