KUALA LUMPUR, 26 November:

Dua tahun menyepi daripada dunia lakonan sejak kontroversi ‘nikah senyap’, pelakon Siti Fazurina atau Fazurina, kini bergelar usahawan pakaian muslimah berjaya.

Pelakon yang berusia 32 tahun itu rupanya sudah mempunyai jenama perniagaan sendiri, Nina Fazurina Collection.

Walaupun mengakui rindunya masih ada dalam pentas lakonan, namun Fazurina tetap memilih watak yang bersesuaian dengan imejnya yang berhijab.

“Saya rindu untuk berlakon, tapi saya tunggu watak yang sesuai dengan saya.

“Biarpun saya sudah mempunyai perniagaan sendiri namun saya tidak akan lupakan dunia lakonan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di pusat gerai jualan di Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, hari ini.

Pada 2012, Fazurina dipalit kontroversi apabila media melaporkan kisah pelakon popular dengan drama ‘Dunia Anita’ bernikah secara senyap bersama Hykal Zulkifli, dengan berwalikan bapa saudaranya di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang.

Malah, Fazurina dikatakan menghilangkan diri selama sebulan tanpa sebarang khabar berita dan berita perkahwinan hanya diketahui apabila keluarganya menerima kiriman SMS daripada seorang saksi.

Difahamkan, keputusan ini dianggap membelakangi keluarganya untuk berkahwin termasuk mengecewakan ibu kandungnya.

Mengulas perkembangan terkini, Fazurina bersyukur kerana dia kini bahagia menjalani kehidupan bersama suami tercinta, Hykal, 32.

Lebih mengembirakan, hubungan dia dan ibunya serta keluarga juga sudah semakin baik.

“Alhamdulillah, apa yang dah lepas tu biarlah lepas. Setiap manusia lakukan kesilapan. Saya kini jalani kehidupan seperti biasa, bahagia macam pasangan suami isteri lain. Hubungan dengan ibu dan keluarga juga bertambah baik.

“Cuma buat masa ni kami belum lagi dikurniakan zuriat. Nak buat macam, belum rezeki. Tapi kami berusaha kuat juga ni,” katanya sambil tertawa kecil.