KUALA LUMPUR, 26 November :

Kewujudan Bona Fide Friends of UMNO (BFF) tidak dilihat sebagai menyaingi peranan Majlis Peguam.

Ahli Majlis Peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata kewujudan BFF sesuatu yang unik dan baik dalam menyediakan pentas kepada peguam muda yang bukan ahli parti itu.

“Ini adalah satu perkara yang unik dan baik kerana akan berlaku pertukaran pandangan di antara UMNO dan BFF yang terdiri daripada peguam-peguam yang bukan ahli UMNO.

“BFF lebih merupakan satu perkhidmatan sosial UMNO di samping usaha parti untuk reach out kepada mereka yang berkaitan dengan undang- undang,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Ditanya sama ada kewujudan BFF akan memberi saingan kepada isu-isu semasa terhadap pendirian yang dibuat Majlis Peguam, Jahaberdeen, menafikan.

Malah, jika BFF dikendalikan dengan betul, ia mampu membantu meningkatkan sistem perundangan negara.

“Saya percaya mungkin ada banyak peluang nanti di mana Majlis Peguam dan BFF boleh bekerjasama untuk kebaikan semua. Ia bukan saingan.

“Ahli-ahli juga berpeluang untuk membantu memperbaiki UMNO jika mereka mahu.

“Saya juga percaya BFF ini tidak hanya untuk peguam-peguam Melayu kemungkinan idea ini juga akan dibuka kepada penyertaan peguam bukan Melayu,” ujarnya.

Jahaberdeen berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim yang menjelaskan penubuhan BFF bukan bertujuan menyaingi Majlis Peguam, sebaliknya hanya mahu memastikan perundangan itu dikuatkuasakan atas perspektif betul.

Jahaberdeen juga turut menyokong kewujudan BFF ini selain mengenali Razali yang juga pengamal undang-undang satu ketika dulu, sebagai penggerak utama.

“Ini adalah kali pertama di mana sebuah parti politik mahu mendekati peguam-peguam dan mereka yang berkelulusan undang-undang secara tersusun.

“Yang penting, pencetus idea ini adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu parti mengorak langkah untuk menghubungkan kalangan kelompok professional yang berkelulusan undang-undang,” jelasnya.