KUALA LUMPUR, 20 November:

Orang ramai diminta supaya mengabaikan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar secara rambang kepada pemilik telefon bimbit kerana ia didapati merupakan satu aktiviti penipuan bersindiket.

Penolong Ketua Urusetia Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ACP Asmawati Ahmad berkata perkara itu telah dikesan berlaku sejak akhir-akhir ini dan ahli sindiket terbabit begitu aktif mahu memperdayakan mangsanya.

Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai menyambung panggilan yang dibuat terus kepada mesin suara dari bank tertentu dengan tujuan untuk meyakinkan mangsa bahawa panggilan tersebut memang dibuat oleh pihak bank yang dimaksudkan.

“Mereka yang memang ada berurusan dengan bank berkenaan sudah tentu akan percaya dengan apa yang diperkatakan tanpa menyedari¬†mereka sebenarnya sedang diperdaya.

“Kita mengesan panggilan itu dibuat menerusi nombor 012-3763356.

“Sebagai makluman nombor dari talian 03-2169 6162 dan 03-2169 6165 yang digunakan oleh sindiket terbabit sebenarnya tidak wujud dalam rekod Telekom Malaysia (TM) sebagai talian rasmi bank berdaftar,” katanya menerusi laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Asmawati berkata pihak bank hanya akan menghantar pesanan SMS menggunakan nombor lima digit seperti 66300 atau 62886 atau 66399 atau berhubung terus dengan pelanggan mereka.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak bank terlebih dahulu sekiranya sesiapa ada menerima SMS atau panggilan daripada nombor berkenaan.