KUALA LUMPUR, 7 November:

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menangkis dakwaan bahawa ahli-ahli kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu, terlibat dengan kegiatan gangster.

Dakwaan itu dibuat oleh aktivis Ali Abdul Jalil yang kini melarikan diri mencari suaka politik di Sweden selepas didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor dan kerabat Diraja Johor.

Nadzim berkata, PPIM tidak dianggotai oleh anggota gangster lebih-lebih lagi dari kalangan kumpulan 77 (Double Seven), 30 dan 36.

“Bila pula kami jadi samseng atau gangster? Tidak tahu pula hal ini dijadikan isu untuk memburuk-burukkan nama baik persatuan Islam.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu berniat jahat untuk menjatuhkan PPIM kerana jika benar PPIM terlibat dengan kegiatan gangster sudah tentu ramai ahli kami ditangkap pihak berkuasa. Kalau gaduh sikit-sikit itu adalah, sebab PPIM ramai musuh dari kalangan sindiket perjudian, Ah Long dan pengedar dadah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Aktivis Ali Abdul Jalil yang kini lari ke Sweden bagi mencari suaka politik, mendakwa menerima ancaman daripada kumpulan gangster Melayu selepas keluar dari Penjara Sungai Buloh.

Dia mendakwa ahli kumpulan 77,30 dan 36 yang ditemuinya ketika dipenjarakan, mengakui PPIM memang dianggotai oleh kumpulan gangster dan mereka juga terlibat dengan kes bunuh, tetak dan senjata api.

Nadzim berkata, mungkin kerana PPIM sering berdepan dengan mereka yang menjalankan kegiatan Ah Long, sindiket judi dan pengedaran dadah, PPIM dikatakan terlibat sama namun ia tidak benar sama sekali.

“PPIM merupakan sebuah badan berdaftar dan ahli-ahli kami semuanya ditapis terlebih dahulu sebelum diterima keahlian secara rasmi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penyertaannya dalam acara Malam Amal Sejagat pada tahun 2011, Nadzim memberitahu kehadirannya dalam majlis itu adalah untuk menyalurkan kutipan derma kepada mereka yang memerlukan, sesuai dengan nama acara tersebut.

“Majlis ini diadakan untuk mengutip derma dan disertai oleh NGO-NGO yang berdaftar. Kami bukannya seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), malah tidak termasuk di bawah mana-mana akta yang diluluskan Dewan Rakyat.

“Ahli PPIM bukannya terdiri dari kalangan geng 77,30 dan 36 yang berlindung di sebalik pertubuhan Islam kerana kami tidak pernah merekrut ahli dan bergerak atas paltform parti politik untuk memberikan perlindungan kepada wakil rakyat tertentu. Malah kami juga tidak mendapat keistimewaan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.