KUALA LUMPUR, 31 Oktober:

Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sepatutnya menumpukan isu kebersihan, bukannya melaga-lagakan majikan bukan Islam dan pekerja wanita Islam, memandangkan penguatkuasaan undang-undang kecil mungkin boleh merenggangkan hubungan antara kedua-dua pihak terbabit.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, parti itu mengulangi kebimbangan berhubung hakisan hak bukan Islam di bawah pemerintahan kerajaan negeri PAS, walaupun MPKB menegaskan Operasi Gempur Aurat bertujuan menjalankan penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang kecil terhadap kod berpakaian di kalangan wanita Islam yang diamalkan sejak 1990.

“Selain itu, Wanita MCA turut bimbang dengan ancaman tidak memperbaharui lesen perniagaan dan denda RM500 yang akan dikenakan terhadap peniaga-peniaga bukan Islam, sekiranya pekerja wanita beragama Islam berpakaian kurang sopan,” katanya.

Jelasnya, penguatkuasaan itu akan dilakukan, walaupun peniaga Cina sebelum ini telah diarahkan memakai pakaian yang mempunyai ukuran lengan tiga suku panjang.

“Langkah sedemikian boleh mencetuskan kebencian majikan terhadap kakitangan beragama Islam, sekali gus menjejaskan hubungan umat Islam dan orang bukan Islam di Kelantan.

“Ops Gempur Aurat ini juga akan menghalang peniaga bukan Islam dan usahawan mengambil wanita Islam. untuk bekerja. Walaupun prospek pekerjaan bagi lelaki akan meningkat di Kelantan, tetapi ia disebabkan kesan daripada kekurangan wanita Islam yang bekerja,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap MPKB tidak akan mengambil tindakan keras terhadap peniaga bukan Islam, kerana ia tidak berbeza daripada cara kumpulan militan Negara Islam (IS) menindas minoriti bukan Islam di kawasan yang mereka kuasai di Iraq dan Syria.

“Pegawai penguatkuasa MPKB juga perlu mengelakkan daripada sengaja mencari mereka yang dianggap berpakaian tidak sopan, sama ada di kaki lima mahupun di lorong belakang.

“Secara tidak langsung, peniaga dan usahawan bukan Islam mungkin berkemas dan mencari peluang perniagaan yang lebih baik di negeri lain, disebabkan penindasan yang berlaku di Kelantan, yang mungkin menyebabkan negeri itu mengalami aliran keluar modal dan kehilangan peluang pembangunan,” tegasnya.

Beliau sebaliknya mencadangkan MPKB memeriksa premis dan persekitaran daripada segi penjagaan kebersihan, bukannya menyasarkan wanita Islam serta majikan bukan Islam.