IPOH, 4 Oktober:

Seorang guru mengalami kerugian RM10,760, selepas tertipu kononnya dia memenangi hadiah dalam cabutan bertuah permata Cartier.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shahron Anuar Abdul Latif, berkata wanita berusia 35 tahun itu membayar wang berkenaan sebagai wang jaminan dan bayaran keahlian syarikat berkenaan.

Beliau berkata, mangsa diminta memasukkan RM5,760 ke dalam satu akaun, serta RM5,000 dalam satu lagi akaun, pada bulan lalu.

“Namun, mangsa tidak pernah menyertai peraduan anjuran syarikat Miilai Hong Kong itu atau membeli apa-apa produk daripada mereka.

“Semakan juga mendapati, laman web www.millai.com sama dengan laman web www.meimeimall.com yang turut menawarkan hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3664322, atau Insp Mohd Suhadi di talian 05-3629222 sambungan 9083, atau talian 012-5217752.