KUALA LUMPUR, 3 Oktober :

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan penawaran program loteri dan peraduan mencurigakan yang dikaitkan dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Sejak kebelakangan ini, beberapa pengguna syarikat penerbangan itu membuat aduan mengenai penipuan program loteri yang dikenali sebagai “2014 Air Asia High 5 Bonus Khas yang disebarkan melalui emel pengguna “JK Alen’ atau “ Jimmy Chan’.

Individu berkenaan menggunakan alamat airasia-malaysia@taipower.com.tv dan airasiahigh5@my0511.com, dan dipercayai beroperasi di Kota Kinabalu, Sabah.

Sehubungan itu, AirAsia telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pagi ini.

Ketua Bahagian Perundangan Kumpulan AirAsia, Amer Faezal Zakaria, berkata pihaknya tahu mengenai sindiket penipuan ini sejak 2011 melalui emel yang dihantar kepada AirAsia oleh pelanggan dan orang awam.

“Oleh sebab jumlah aduan meningkat, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan memaklumkan kepada orang ramai akan penipuan yang dilakukan ini walaupun belum ada pelanggan yang tertipu,” ujarnya.

“Kami tidak melibatkan pihak ketiga untuk sebarang peraduan yang dianjurkan dan tidak menggunakan alamat emel lain melainkan seperti yang tertera di laman AirAsia di www.airasia.com atau mana-mana ejen jualan yang dilantik secara sah sahaja.”

Justeru beliau menasihati pelanggan dan orang ramai jangan mudah terpedaya kepada sebarang tawaran wang ringgit dan hanya membeli tiket yang sah dijual di ejen jualan dilantik sahaja bagi mengelak pelanggan tertipu dengan modus operandi sindiket sedemikian.

AirAsia yang beroperasi selama 12 tahun menawarkan penerbangan tambang murah di 88 destinasi seluruh Asia termasuk China, India dan Australia. AirAsia juga telah terpilih sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia berturut-turut sejak 2009-2014 oleh Skytrax.