KUALA LUMPUR, 27 September:

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) mengeluarkan Iszuree Ibrahim sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, sekaligus membekukan semua peruntukannya, pada Khamis lalu.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah, berkata tindakan MKK itu tidak wajar, dan mereka seharusnya mengambil kira keputusan serta pandangan, sebelum membuat keputusan ‘gantung tugas’ kerana pelantikan jawatan itu bukanlah atas kapasiti individu, sebaliknya ia dibuat atas kapasiti parti politik mewakili PAS.

Menurutnya, tindakan itu dipercayai berpunca daripada kelantangan Iszuree ketika berucap pada Muktamar PAS yang diadakan di Batu Pahat, baru-baru ini, berhubung pembangunan rakyat di Pulau Pinang.

“Saya berpendapat, dengan rekod cemerlang Iszuree, tindakan itu tidak wajar dikenakan ke atasnya dan kita berharap tindakan ini ditarik semula serta memberi peluang kepada beliau (Iszuree) untuk memberi penjelasan.

“Keputusan perlu dilakukan bersama, sekiranya mereka (DAP) masih menganggap kita rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Sepertimana kami boleh bersabar dengan perbezaan pandangan dan terbuka menerima kritikan, kecaman, cemuhan, sehingga dituduh ‘pengkhianat di Selangor’ daripada rakan kami, maka kami juga meminta rakan kami boleh berjiwa besar untuk berbuat begitu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Fadhil Kemi, berkata pendapat Iszuree pada Muktamar Pas, baru-baru ini, turut disokong PAS Pulau Pinang.

Menurutnya, memang ada bukti menunjukkan kerajaan negeri memberi ruang kepada pembangunan buat pemaju di atas tanah kerajaan milik MPP di Kampung Selut yang didiami 99 peratus orang Melayu.

“Jika dibangunkan, nama asal kampung akan hilang, kariah umat Islam tidak wujud, masjid kosong dan sekaligus kampung Melayu di bandar akan pupus.

“Beliau (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang mengetuai Pakatan Rakyat Negeri juga gagal mengadakan mesyuarat selama beberapa tahun ini, bagi membincangkan masalah berhubung pentadbiran, parti ataupun rakyat,” katanya.

Menurutnya, suara ahli majlis PAS adalah kumpulan minoriti yang gagal mendapat persetujuan ramai serta percanggahan pendapat itu akan menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pimpinan negeri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, menyifatkan langkah mengeluarkan Iszuree akan menambahkan lagi jerebu iklim politik di tanah air.

Menurutnya, tindakan susulan ucapan Iszuree yang menegur dan mengkritik kesan langsung daripada pembangunan pesat di Pulau Pinang yang menyebabkan pemaju ‘bermaharajalela’.

“Beliau (Iszuree) mahukan campur tangan kerajaan negeri, sambil mendesak PAS Pusat memberi perhatian terhadap isu berbangkit berhubung kedudukan umat Islam di Pulau Mutiara itu.

“Saya meneliti ucapan itu yang jelas menunjukkan teguran dan kritikan membina, supaya PAS Pusat memberi perhatian terhadap isu membabitkan kedudukan serta kepentingan umat Islam di Pulau Pinang yang kian terhimpit dalam arus pembangunan,” katanya.

Namun, katanya, tindak balas kerajaan Pulau Pinang sangat drastik, dengan ‘memancung’ Iszuree gara-gara kritikan membina itu, seperti tersimpan satu dendam yang hanya menanti masa untuk dilunaskan.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, kritikan membina dibalas racun tuba, sekaligus merosakkan teladan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sering dijolok pada pemerintahan Ketua Menterinya.

Lebih tragis, tindakan ke atas Iszuree diambil tanpa sebarang surat tunjuk sebab, apatah lagi dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Kelihatan tindakan DAP mutakhir ini seperti meniru gaya dan pendekatan PAP (Parti Tindakan Rakyat) di Singapura, iaitu mengambil “tindak balas” segera terhadap pengkritik mereka dengan menggunakan kuasa yang dimiliki, antaranya memberi tekanan dan menyaman pengkritik mereka.

“Saya menganggap ini satu langkah untuk menakutkan pihak yang mahu menegur, dan perkara ini adalah sesuatu yang malang bagi Pakatan Rakyat yang selama ini memperjuangkan demokrasi dan hak bersuara,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan Iszuree bukanlah memfitnah, apatah lagi mengkhianati kerajaan.

Sebaliknya, beliau menggunakan forum Muktamar PAS untuk membangkitkan isu itu, supaya ia menjadi perhatian PAS Pusat, di mana secara kebetulannya, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang adalah Timbalan Presiden PAS.

Menurutnya, belum sempat PAS Pusat mengambil langkah, Iszuree dikenakan tindakan dan beliau mempersoalkan adakah kerajaan DAP di Pulau Pinang mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

“Saya yakin isu yang dibangkitkan Iszuree berkaitan masalah penempatan, kampung dan tanah umat Islam Pulau Pinang, ada asas dan faktanya yang sangat jelas.

“Sewaktu saya menjawat amanah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS seketika dulu, isu serupa telah dibangkitkan dan saya turun meninjau di Pulau Pinang.

“Malah, Lajnah Tanah PAS Pusat yang dipengerusikan Mazlan Aliman juga sangat maklum betapa berbangkitnya isu kepentingan umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Nasrudin berkata, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pastinya boleh berperanan menangani isu berbangkit dan berkaitan kepentingan umat Islam, khasnya tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap Bendahari Badan Perhubungan PAS negeri itu.

“Kebetulan pula, Mohamad Sabu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri dan ucapan beliau bukan atas kapasiti peribadi, tetapi mewakili Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang.

“Saya difahamkan teks ucapan berkaitan isu tersebut telah disemak sendiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid.

“Sewajarnya, PAS Pulau Pinang mengambil tindakan bertanggungjawab bagi membela Iszuree yang telah dizalimi DAP,” katanya.