KUALA LUMPUR, 16 September: 

Selepas 51 tahun pembentukan Malaysia, perkauman masih menjadi isu utama yang mengancam keharmonian negara ini.

Kejumudan dan sensitiviti melampau antara cabaran yang terus kekal walaupun selepas setengah abad proses integrasi bermula.

Bagi tokoh sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim, negara ini berhadapan dengan masalah di mana rakyatnya gagal memahami erti sebenar bangsa Malaysia.

Katanya, masalah yang berlaku merupakan satu cabaran besar buat pemimpin untuk memastikan anak muda di negara ini boleh duduk bersama tanpa mengira perbezaan agama dan juga kaum.

“Saya rasa sebilangan rakyat Malaysia tidak faham apa makna bangsa. Mereka tidak faham bangsa bukan bererti kaum, ia adalah merujuk kepada semua rakyat negara dan sebab itu ada 1Malaysia.

“Masalahnya sekarang ini, mereka masih berfikir dalam konteks Melayu, Cina, India, Dusun dan Kadazan. Mereka tidak berfikir sebagai ‘Malaysian‘,” katanya kepada The Rakyat Post .

Tambah beliau, golongan muda perlu diberikan pemahaman yang mendalam berkenaan bangsa Malaysia agar ia tidak meluaskan jurang perbezaan kaum.

Jelasnya, pemahaman awal di peringkat sekolah mampu membantu golongan muda untuk menjadi rakyat yang lebih matang dan cintakan negara.

“Sekarang ini kita dapat lihat tiap-tiap kaum itu lebih mementingkan kaum mereka sendiri, dan pengetahuan mereka berkenaan kaum lain boleh dikatakan sangat dangkal.

“Kalau golongan muda dididik di sekolah untuk sentiasa beri keutamaan kepada negara bangsa, meraka akan menjadi orang dewasa yang lebih berpengetahuan dan lebih insaf tentang kedudkan diri kita sebagai rakyat Malaysia,” tambah beliau lagi.

Pandangan Kay Kim itu turut disokong oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi (PERKASA) Syed Hassan Syed Ali yang mana pembelajaran awal mengenai konsep cintakan negara adalah bermula dari zaman awal alam persekolahan.

Dia berpendapat masalah perkauman di negara tidak akan selesai selagi kerajaan tidak menghapuskan sistem sekolah vernakular.

“Selagi sekolah pelbagai aliran dan selagi kek ekonomi tidak diagihkan dengan adil, selagi itulah masalah perkauman akan kekal.

“Lebih parah apabila kerajaan terus membiayai sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan membuka lebih luas dasar liberalisasi,” katanya.

Syed Hassan menegaskan pengagihan dari segi ekonomi juga memainkan peranan dalam membentuk perpaduan di antara kaum.

“Mana mungkin kaum yang sentiasa jauh ketinggalan boleh rasa puas hati dengan kaum lain yang jauh di hadapan,” tambahnya.

Dalam isu yang sama, Pengerusi Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), Tan Sri Raymond Navaratnam juga mengharapakan kerajaan untuk lebih peka dan sensitif berkenaan masalah perkauman khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Ada banyak pihak yang susah hati dengan layanan yang diberi kepada etnik Sabah dan Sarawak. Kerajaan perlu lantik satu jawatankuasa yang akan menyelia dan menjalankan kajian tehadap masalah yang timbul di sana.

“Mana yang marah, dan tidak puas hati kena ambil tahu kenapa, dan bangkitkan isu tersebut ke peringkat yang sewajarnya.

“Kalau dulu mana ada timbul soal Sabah dan Sarawak nak keluar dari Malaysia, tetapi kenapa sekarang ada. Itu kita kena semak dan kaji,” tegasnya.

Hari Malaysia disambut  untuk memperingati Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang meliputi Singapura, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Singapura bertindak keluar dari persekutuan dua tahun kemudian.