SHAH ALAM, 1 September:

Biarpun hukumnya haram, tetapi mesin pertaruhan dan perjudian masih banyak terdapat di pusat beli-belah dan kedai runcit.

Permainan seperti ‘Claw Machine’ yang dulunya hanya menawarkan patung mainan, kini meningkatkan habuan hadiah kepada barangan lebih mahal, seperti telefon bimbit, malah ada juga kepingan emas dijadikan hadiah utama.

Mesin ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai yang ingin mencuba nasib untuk mendapatkan hadiah lumayan dengan berbekal beberapa ringgit untuk menggerakkan ‘kuku besi’ bagi mencengkam hadiah diingini.

Sesetengah orang berpendapat, ia bukan perjudian haram, sebaliknya sekadar melatih kemahiran memandu ‘kuku besi’ untuk mengambil hadiah yang diingini dalam tempoh terhad.

Amalan pertaruhan seperti ini sebenarnya akan menanam sikap tamak, sekaligus memusnahkan keharmonian masyarakat.

Juara program pencarian Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, berpendapat pertaruhan muncul dalam pelbagai bentuk serta rupa, dan ia menjanjikan habuan cukup lumayan untuk menarik minat orang ramai.

“Dengan bermatlamat meraih keuntungan berlipat ganda, ia menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai larangan syarak,” katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bermain kad (berjudi), ia seolah-olah mencelup tangannya ke dalam daging dan darah babi.

“Maka daripada sabda berkenaan, jelaslah bahawa perjudian itu amat ditengah dalam Islam, kerana ia seperti mahu mendapatkan keuntungan dengan bergantung pada nasib dan bukan melalui usaha.

“Perjudian ini terdapat banyak jenis. Anak-anak kita juga boleh terlibat dalam aktiviti perjudian, kerana berbekalkan duit sebanyak RM0.20 sahaja, kita boleh berjudi di kedai runcit,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak daripada awal mengenai dosa berjudi, kerana mereka tidak mengetahui perbuatan mereka itu haram.

“Di kedai runcit kebiasaannya, terdapat kertas dan di dalamnya ada nombor dan nombor berkenaanlah yang akan menentukan hadiah apa yang akan kita menangi,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa perjudian yang mahu dikenali sebagai Mikael berkata, ketika dia bersama rakan-rakannya membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, minggu lalu, dia telah menghabiskan RM140 semata-mata mahu memenangi hadiah gajet yang dipaparkan dalam mesin pertaruhan itu.

“Pada awalnya, saya hanya mencuba nasib, kerana hanya RM2 perlu dibayar untuk sekali pertaruhan, tetapi lepas itu saya menjadi geram kerana tidak mendapat apa-apa.

“Lalu, saya mencuba lagi tanpa sedari sudah banyak duit yang dipertaruhkan,” katanya.

Bagi Mohd Hairie Ismail pula, dia pernah terjebak dengan aktiviti perjudian ketika berumur 10 tahun.

“Ketika itu, saya tidak tahu permainan ‘tikam’ di kedai runcit tergolong sebagai judi. Boleh dikatakan hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah, saya akan singgah di kedai itu untuk mencuba nasib.

“Alhamdulillah, perbuatan saya itu tidak terbawa-bawa sampai ke besar. Bila sudah akil baligh dan dapat membezakan antara baik dan buruk, saya sudah menghentikan perbuatan itu.

“Biarpun pada awalnya sukar untuk membuang tabiat itu, tetapi lama-kelamaan saya tidak lagi terjebak dalam aktiviti haram itu,” katanya.