KUALA LUMPUR, 29 Ogos:

Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) diminta melaksanakan prinsip syariah dalam perkhidmatan penerbangannya.

Pandangan berkenaan disuarakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang menyifatkan tuntutan itu selaras status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Jika kita tidak laksanakan prinsip syariah, bermakna kita sama seperti seorang yang munafik. Mengaku Islam, tetapi dalam pada itu melakukan perkara yang ditegah agama,” tegasnya.

Katanya, MAS seharusnya sudah mengambil contoh beberapa syarikat penerbangan negara Islam lain, seperti Saudi Air dan Royal Brunei, di mana kakitangannya diwajibkan memakai pakaian menutup aurat dan tidak menghidangkan arak dalam penerbangan.

Dalam isu lain, Harussani menyangkal pandangan sesetengah pihak mengaitkan musibah yang menimpa MH370 dan MH17 dengan faktor berkenaan.

“Setiap musibah yang berlaku hanya Allah SWT lebih mengetahui mengapa dan kenapa ia berlaku. Kita tidak boleh membuat sebarang andaian mengenai tragedi tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, bekas pramugara MAS, Ferry Anugerah Makmur, meminta pengurusan syarikat penerbangan nasional itu mengkaji secara terperinci cadangan mewajibkan kakitangan wanita beragama Islam menutup aurat dan menghentikan hidangan arak, kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kesan lain.

“Untuk melaksanakannya kelak, saya yakin MAS akan mengalami masalah dalaman yang jauh¬†lebih besar.

“Jika MAS bersetuju dengan tuntutan pihak-pihak berkenaan, laksanakanlah dengan berhemah, agar isu ini tidak dilihat bersifat ekstrim dan satu desakan pula kepada anak-anak kapal,” katanya yang pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional itu dari 1981 hingga 1995.