IPOH, 29 Ogos:

Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah menghantar laporan awal kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berhubung kecuaian seorang jururawat wanita di Hospital Manjung yang mengakibatkan badan seorang bayi baru lahir, melecur.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Rahimi Goon, berkata pihak hospital telah menjalankan siasatan dalaman, setelah menerima laporan mengenai kejadian itu pada Selasa lalu.

“Semua yang terlibat dalam kejadian itu telah dipanggil memberi keterangan dan pihak Jabatan Kesihatan negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kita masih menunggu siasatan dalaman serta laporan lengkap kejadian tersebut selesai (sama ada tindakan tatatertib diambil terhadap jururawat),” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, bayi lelaki itu dipercayai melecur di badan, kerana terkena air panas yang dikatakan akibat kecuaian jururawat di hospital berkenaan.

Bayi malang yang dilahirkan pada jam 12.20 tengah malam Selasa itu tercedera, ketika seorang jururawat berusia lingkungan 40-an memandikannya kira-kira jam 7 pagi hari sama.

Menurut bapanya, Pegawai Waran 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Abdul Malek Jumat, 42 tahun, memberitahu anaknya seberat 3.31 kilogram bersalin secara normal, selepas isterinya, Jamaliah Mohd Diah, 39 tahun, dimasukkan ke hospital pada jam 8 pagi Isnin lalu.