KUALA LUMPUR, 26 Ogos:

Puisi panjang yang dikatakan ditulis oleh Sasterawan Negara A Samad Said yang mengkritik sikap kaum Melayu, semakin tersebar di internet.

Puisi ‘Hai Melayu’ yang mempunyai 56 baris, mengkritik etika kerja dan nilai kaum Melayu dan bagaimana ia bertentangan sekali dengan sikap kaum bukan Melayu dan pekerja asing.

Namun, A. Samad Said menerangkan bahawa beliau bukan penulis puisi berkenaan.

“Bukan saya yang mengarang puisi berkenaan dan saya tidak ada kena mengena dengannya,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Samad.

Tambahnya, dia tidak tahu siapa penulis puisi berkenaan.

“Saya tidak tahu siapa penulisnya. Saya rasa mungkin mereka meletak nama saya untuk memburukkan nama saya. Saya tidak mahu rakan-rakan saya menganggap saya yang menulis puisi berkenaan,” katanya.

Pak Samad berkata dia sudah berhenti menulis puisi dan mengemaskini status di Facebook dan Twitter sejak 11 Ogos lalu.

“Saya berhenti menulis puisi atau meluahkan fikiran saya sebagai tanda protes terhadap PAS yang bagi saya menpersulitkan hubungan parti,” kata Pak Samad merujuk kepada isu Menteri Besar Selangor.

Pak Samad berkata demikian di sidang media ‘Perjalanan Pak Samad’ (A Journey of Pak Samad), sebuah pameran seni lukis A. Samad Said di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Pameran itu dianjurkan bersama KLSCAH, Pertubuhan Ikram Malaysia dan Yayasan Tamil Malaysia yang diadakan bermula 3 hingga 5 Oktober.