SHAH ALAM, 18 Ogos:

Kumpulan penjenayah yang dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar Kuala Selangor, berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya sembilan suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita.

Menurut Facebook Polis Selangor, kesemua mereka ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar Tanjung Karang, Tanjung Malim dan Sungai Buloh, pada awal pagi semalam.

Kesemua suspek itu dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun bersenjatakan parang, di mana sepasang suami isteri disamun di kediaman mereka di Taman Sahabat, Tanjung Karang, Kuala Selangor oleh empat lelaki, pada awal pagi Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera parah akibat ditetak dengan parang, manakala isterinya dicabul salah seorang suspek.

Suspek kemudiannya melarikan diri bersama beberapa barangan berharga.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Abd Rahim Jaafar, suspek wanita yang ditahan itu merupakan isteri salah seorang suspek berkenaan, yang turut memainkan peranan dalam kejadian tersebut.

Tambahnya, polis turut menemui beberapa barangan berharga serta merampas tiga buah motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai dicuri.

Susulan penangkapan itu, jelasnya, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes seumpamanya yang dilakukan kumpulan berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati, dua daripada suspek itu positif dadah.

Kesemua suspek yang berumur 19 hingga 22 tahun itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.