KOTA KINABALU, 18 Ogos:

Seorang pengawal keselamatan dari Sandakan kehilangan RM6,320, selepas dia ditipu memenangi RM5,000 dalam peraduan cabutan bertuah sebuah syarikat telekomunikasi, Celcom.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Supt. Saiman Kasran, berkata mangsa yang berusia 42 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Jamsuri Ismail, wakil Celcom dari Kuala Lumpur, menggunakan nombor telefon bimbit 019-5888172, semalam.

“Suspek memberitahu mangsa, nombor telefon bimbitnya terpilih dalam peraduan cabutan bertuah dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 sempena sambutan Hari Merdeka.

“Tetapi untuk mendapatkan hadiah berkenaan, mangsa perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam ‘akaun rasmi Celcom’ untuk mengaktifkan transaksi.

“Pada mulanya mangsa ragu-ragu dengan ‘durian runtuh’ itu, tetapi dia diyakinkan oleh suspek bahawa Bank Negara dan Polis Bukit Aman tahu mengenai ‘program’ berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudiannya memasukkan RM4,000 ke dalam akaun Alliance Bank bernombor 600250010012639; RM1,500 (CIMB: 10040037775528); RM500 (Bank Rakyat: 220711402585); dan membeli kad tambah nilai Celcom bernilai RM200 serta RM120 untuk Hotlink.

“Hanya selepas dia membuat semua transaksi itu, mangsa sedar dia ditipu, lalu membuat laporan polis,” katanya.

Saiman berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

“Kami sering mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan taktik begini, tetapi ia masih berlaku.

“Sekali lagi kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mengendahkan mesej pesanan ringkas (SMS) atau panggilan yang mengatakan anda memenangi sesuatu peraduan, terutama sekiranya ia melibatkan transaksi wang.

“Peraduan berkenaan mungkin benar, tetapi mereka tidak pernah memaklumkan pemenang melalui telefon atau SMS. Anda perlu mengesahkan sumber atau menelefon polis, sekiranya menyedari ada yang tidak kena,” kata Saiman.