KUALA LUMPUR, 18 Ogos:

Warga kota dinasihatkan tidak terlalu mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma, sebaliknya menggunakan wang sendiri untuk membeli bendera Malaysia sebagai tanda cintakan negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata saranan itu perlu disahut setiap rakyat bagi menjiwai semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela, tanpa mengharapkan bendera percuma yang diberikan kerajaan.

“Seharusnya, kita tidak boleh berkira untuk mengeluarkan sedikit belanja bagi menghiasi kediaman atau pejabat kita dengan Jalur Gemilang, bagi menunjukkan rasa cintakan negara dan menyemarakkan Bulan Kemerdekaan ke-57.

“Jadi, besar harapan saya agar setiap rakyat dapat menjiwai semangat merdeka ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2014, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Phesal turut menyerahkan bendera kepada Ahli Parlimen, agensi kerajaan, sekolah, badan bukan kerajaan dan beberapa premis di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Katanya, bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini, sebanyak 30,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz diedarkan DBKL kepada warga kota, untuk dipasang di premis perniagaan mahupun kenderaan.

“Setakat ini, sebanyak 18,400 Jalur Gemilang telah diagihkan, termasuk 2,250 untuk hari ini, manakala sejumlah 4,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur, bangunan milik DBKL dan perumahan awam DBKL, termasuk Projek Perumahan Rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, Hari Kemerdekaan ke-57 disambut secara sederhana, kerana seluruh negara masih berkabung atas tragedi pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lalu.

“Walaupun disambut secara sederhana, kibaran Jalur Gemilang tetap diteruskan. Program sepanjang Bulan Kemerdekaan juga lebih menghormati keluarga penumpang MH17, misalnya membatalkan sebarang aktiviti berbentuk hiburan,” katanya.