KUALA LUMPUR, 14 Ogos:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang awam agar tidak membeli, menjual dan menggunakan produk tidak berdaftar Skyline Al-Taqwa kerana ia mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan tidak dijamin kualiti dan keselamatannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar yang dijual sebagai ubat tradisional dari Madinah, Arab Saudi yang dilabelkan dengan nama Skyline Al-Taqwa Ubat Sakit Pinggang dan Lutut dan Skyline Al-Taqwa Gaut Asam Urat.

Menurutnya, label pada produk tersebut menyatakan bahawa ia boleh digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan seperti sakit sendi tulang, sakit urat, penat, tangan bengkak, lemah tenaga, angin dalam urat, kebas tapak tangan dan lumpuh.

“BPFK telah menerima sebanyak empat laporan kesan advers yang melibatkan produk tersebut antaranya salah seorang pesakit mengalami kesan yang serius iaitu perubahan tingkah laku dan pakar psikiatrik telah mendiagnosis pesakit tersebut yang mengalami simptom euforia akibat pengambilan produk yang mengandungi steroid.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran produk yang dicetak pada kedua-dua produk itu adalah palsu dan tiada produk dengan nama-nama tersebut berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),” katanya seperti dipetik dalam kenyataan media yang dikeluarkan¬†pada Rabu.

Noor Hisham berkata, dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang tulang yang serius dan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor.

“Dexamethasone tidak dibenarkan digunakan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan dan mengakibatkan kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

“Pesakit juga boleh mengalami sindrom cushing yang bercirikan muka membulat dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil manakala kesan lain seperti advers psikiatri seperti euforia, depresi dan psikosis juga didokumenkan untuk dexamethasone,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menasihati sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya manakala syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegasnya.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.