KUALA TERENGGANU, 9 Ogos:

Lembaga Tabung Haji (TH) membelanjakan kira-kira RM130 juta bagi menanggung perbelanjaan jemaah haji setiap tahun.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi tambang keseluruhan setiap jemaah di mana ia melibatkan kos RM16,155 seorang.

“Bagaimanapun para jemaah hanya membayar sebanyak RM9,980 sahaja manakala selebihnya baki sebanyak RM6,175 ditanggung oleh TH,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat negeri yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di samping itu katanya, TH juga membelanjakan kira-kira RM3.6 juta setahun bagi mengadakan kursus haji di seluruh negara bagi membimbing bakal haji agar mereka benar-benar bersedia ketika berada di tanah suci.

Berhubung kuota haji ke tanah suci, dia menjelaskan kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota haji bagi semua negara sebanyak 20 peratus kerana Mekah ketika ini sedang dalam proses pembinaan dan pembesaran,

“Ini bermakna kita mampu menghantar jemaah haji seramai 22,320 orang tahun ini, seperti juga tahun lepas,” katanya.

Syed Saleh berkata, penerbangan pertama jemaah dari negara ini ialah pada 27 Ogos manakala penerbangan terakhir pada 27 September depan melibatkan 64 penerbangan kesemuanya.

Mengenai wabak penyakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) dan Ebola, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak wabak itu daripada dijangkiti jemaah.