KUALA LUMPUR, 8 Ogos:

Laporan penuh yang dikeluarkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berhubung hutang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Melalui laman sosial, beberapa individu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Ahli Parlimen Pandan itu.

Pengguna laman Twitter, @erk888 menempelak tindakan Rafizi yang dianggap tidak mementingkan perasaan rakyat Selangor.

“@rafiziramli laporan 900 muka surat pun, ada fikir ke rakyat Selangor sudah muak dengan semua ini? Dari langkah Kajang sampai sekarang, masalah air masih belum selesai,” tulisnya.

Rafizi kemudiannya membalas twit berkenaan, dengan meminta @erk888 membaca laporan penuh, sebelum membuat sebarang keputusan.

Namun, kenyataan itu tidak diendahkan pengguna berkenaan, sambil menyifatkannya perlu menjaga urusan kawasan parlimennya, sebelum mencampuri urusan negeri.

“@rafiziramli @Khalid_Ibrahim, kau sibuklah hal negeri orang. Pergi jaga Pandan tu,” balas @erk888.

Rafizi bagaimanapun tidak berdiam diri, sebaliknya dia membalas setiap kenyataan yang dibuat @erk888.

“Jenis membaca malas sergah saja. Dia bukan berminat pun fakta ke apa,” balas Rafizi.

Rafizi yang tidak puas hati dengan komen yang diberikan, terus mempertahankan tindakannya.

Sementara itu, dalam twit terbarunya, Rafizi juga berkata, laporan integriti yang dikeluarkannya adalah sama seperti yang dilakukan terhadap pemimpin UMNO sebelum ini.

“Bila saya selalu semak kes-kes pemimpin UMNO, ada tanya kenapa tak semak kes pemimpin PKR. Maka, sekarang kami kemuka soalan kepada @Khalid_Ibrahim pula,” tulisnya.

Sebelum ini, Rafizi mengeluarkan laporan penuh ‘Kes-kes bersabit integriti melibatkan Tan Sri Khalid Ibrahim’ dalam usaha menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.