KOTA BHARU 29 Jun:

Filem The Red Warriors (TRW) The Movie yang membariskan beberapa pemain daripada pasukan bola sepak Kelantan bersama-sama barisan pelakon tempatan bakal ditayangkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, antara pemain Kelantan yang beraksi dalam filem berkenaan termasuk  Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal dan kapten pasukan, Mohd. Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan Piya.

“Pengambaran telah dimulakan sejak dua minggu lalu dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa tiga bulan lagi.

“Dalam filem ini, akan memaparkan sedutan perlawanan sebenar ketika mereka beraksi di atas padang termasuk perlawanan amal antara TRW dengan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Muhammad IV pada 13 Julai ini,” katanya.

TRW The Movie berkisahkan seorang pemuda, Rohim dari Dabong yang mempunyai minat mendalam dalam bola sepak namun terpaksa berhenti sekolah dan dipaksa menjadi pemandu teksi sapu seperti ayahnya.

Rohim yang melarikan diri dari rumah kemudiannya bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah restoran berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV dan berkenalan dengan anak majikannya bernama Kalsom.

Wanita itu memberi semangat terhadap dirinya dan mengatakan menjadi pemain bola sepak itu bukan sekadar sukan tetapi merupakan satu perniagaan.

Bermula daripada itu, tanpa menoleh ke belakang dia mengejar cita-citanya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Selain dibintangi pemain TRW, ia juga dilakonkan para kelab penyokong TRW, Fizo Omar, Kamal Adli, Intan Ladyana, Julia Ziegler, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Amir Raja Lawak, Sabri Yunus dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.