PUCHONG, 24 Jun:

Gara-gara meninggalkan anak di dalam kereta tanpa mematikan enjin, seorang bayi dan seorang kanak-kanak nyaris menjadi mangsa culik dalam kejadian di Jalan Dahlia Puchong Perdana di sini hari ini.

Semasa kejadian, ibu mangsa yang memandu kereta Proton jenis Gen 2 itu baru sahaja menghantar dua orang anaknya ke rumah pengasuh tidak jauh dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Yahya Ramli berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.10 pagi disedari ibu kanak-kanak terbabit setelah sekembalinya ke kereta untuk mengambil dua lagi anaknya.

kid-m24-Jun

Menurut beliau, alangkah terperanjatnya wanita itu apabila mendapati kereta dan dua anaknya yang masing-masing berusia tiga bulan dan sembilan tahun telah lesap.

“Ibu malang yang tidak keruan itu kemudiannya telah berlari mencari keretanya hingga ke Sekolah KAFA Integrasi Madrasatul Ikhwan dekat sini tetapi gagal.

“Bagaimanapun, selepas 40 minit ibu malang itu berada disitu dia telah dihampiri oleh seorang lelaki berbangsa Melayu yang telah membawa kedua-dua anaknya itu,” katanya ketika¬†dihubungi The Rakyat Post¬†di sini Selasa.

Yahya berkata, lelaki berkenaan memberitahu, dia menemui kanak-kanak dan bayi tersebut di tepi jalan di Taman Perindustrian Puchong yang jaraknya kira-kira 5 kilometer dari tempat kereta ibu malang itu dilarikan.

Katanya, ketika ditemui kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.

Kanak-kanak dan bayi terbabit ditemui orang awam tepi Jalan berdekatan Kuil India di kawasan Maju Jaya, Puchong Utama.
Kanak-kanak dan bayi terbabit ditemui orang awam tepi Jalan berdekatan Kuil India di kawasan Maju Jaya, Puchong Utama.

Jelas beliau, berdasarkan perbualan dengan kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu polis mendapati, suspek yang merupakan seorang lelaki, memakai seragam sekolah dan menggunakan sebilah pisau sebagai senjata untuk menakut-nakutkan kanak-kanak berkenaan.

“Disebabkan kanak-kanak itu menangis suspek yang buntu dipercayai telah meninggalkan mereka di tepi jalan sebelum membawa lari kereta milik ibu mangsa,” ujarnya.

Yahya memberitahu, selain kereta, ibu malang itu turut kehilangan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaksi S-3, sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson serta dokumen pengenalan dirinya.

Katanya lagi, Usaha untuk mengesan suspek telah dilakukan pihak polis dengan pengawasan unit Jabatan Siasatan Jenayah yang diketuai oleh Asisten Superitendan Rodney Pasla.

Sehingga kini katanya, polis masih lagi memburu suspek yang terlibat dengan kejadian itu dan dipercayai akan dapat diberkas dalam masa terdekat.