BACHOK, 8 Jun:

Seorang bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira seminggu ditemui dalam sebuah kotak air mineral yang ditinggalkan di depan rumah kedai di Kampung Gajah Mati, Tawang, pada Sabtu.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, ASP Azmi Mokhtar berkata, bayi itu ditemui pemilik rumah kedai berkenaan, Seman Salleh, 68 tahun dan isterinya, Zuraini Abdul Wahab, 43 tahun.

“Ketika dijumpai kira-kira jam 5.30 pagi, bayi dengan tali pusat yang belum tertanggal itu sedang menangis, sebelum dibawa masuk ke dalam rumah,” katanya kepada pemberita.

Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

Menurut Azmi, polis akan membuat semakan dengan klinik kesihatan di kawasan Bachok untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan.

Sementara itu, Seman berkata, ketika ditemui bayi berkenaan menangis tidak henti-henti, sebelum diberikan susu oleh isterinya.

“Apabila diberikan susu, dalam dua minit dia terus senyap. Ketika dijumpai, dia dalam keadaan menangis, muka ditutup dan dibungkus dengan tuala dalam kotak air mineral,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tawang.