KUALA LUMPUR, 3 Mei:

PAS menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya Ahad lalu, dan menyifatkannya sebagai menjejaskan imej Islam.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu The Rakyat Post, JAIS sepatutnya menghubungi Malaysia Hindu Sangam (MHS) terlebih dahulu untuk bantuan sebelum menyerbu majlis berkenaan.

Beliau berkata, jabatan agama itu boleh merujuk kepada sami yang menjalankan upacara perkahwinan itu serta memanggil kedua-dua pengantin sebelum majlis dan mengadakan perbincangan.

“JAIS perlu bekerjasama dengan pertubuhan agama lain dalam perkara sebegini. Jangan menggunakan kuasa membuta tuli kerana ia menjejaskan imej Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan JAIS yang menyerbu upacara perkahwinan antara perempuan yang dipercayai beragama Islam bersama pasangannya di sebuah kuil Hindu.

Ahad lalu, beberapa pegawai JAIS dan anggota polis dilaporkan membuat serbuan ke atas satu upacara perkahwinan Hindu berikutan terdapat laporan mendakwa berkemungkinan pengantin perempuan yang berusia 32 tahun itu beragama Islam.

Bagaimanapun, pengantin terbabit mendakwa bapanya yang mengabaikan keluarga telah mendaftarkannya sebagai Islam tetapi dibesarkan dalam didikan agama Hindu.

Setelah pemeriksaan dijalankan, status agama pengantin terbabit sebagaimana yang tertera dalam Mykadnya adalah Islam. Pengantin terbabit kemudiannya ditahan untuk disoal siasat dan dibebaskan sejurus selesai.

“Ianya suatu yang salah dari segi moral. Saya pasti JAIS telah menerima laporan terlebih dahulu dan mereka seharusnya menyemak, bukannya serbu majlis itu,” katanya.

Khalid berkata, JAIS juga perlu mula menjalin hubungan baik dengan badan-badan agama bukan Islam lain bagi mengukuhkan pemahaman yang lebih baik mengenai agama lain.

“Mereka (JAIS) perlu belajar untuk menghormati kepercayaan agama lain dan tidak menyalahgunakan kuasa mereka seperti ini.

“Apa yang mahu saya nyatakan di sini JAIS, pada padangan orang lain mewakili Islam dan tindakan sebegini mampu memberi imej buruk pada agama Islam,” katanya.