KUALA LUMPUR, 29 Mei: 

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini dilantik sebagai Sultan Perak ke-35.

Pelantikan diisytihar oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (Bersara) Tan Sri Mohd Zahidi Hj Zainuddin yang juga Pengerusi Dewan Negara Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Baginda membawa gelaran Paduka Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Anakanda sulung kepada Almarhum Sultan Azlan dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun Mohd Ali diputerakan pada 27 November, 1956 dan ditabal sebagai Raja Muda Perak pada 19 April, 1984.

Setelah kemangkatan Raja Muda Perak, Raja Ahmad Saifuddin Sultan Iskandar, Raja Nazrin telah dinaikkan ke jawatan Raja Muda Perak pada tahun 1987.

Baginda pertama kali menjadi Pemangku Raja Perak adalah pada tahun 1989 apabila ayahanda baginda menaiki takhta persekutuan sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-9.

Raja Nazrin mendapat pendidikan awal di St John Institution Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke Ley’s School, Cambridge.

Seterusnya baginda memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Worcester College, Oxford pada tahun 1979 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Havard pada 1984.

Baginda meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi dan memperoleh Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Raja Nazrin mempunyai minat yang tinggi dalam bidang ekonomi dan kemajuan politik di  rantau Asia Tenggara dan Timur Laut Asia, dan pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun.

Putera sulung daripada lima adik beradik ini telah menulis beberapa artikel dan berucap mengenai pelbagai isu termasuk peranan raja berpelembagaan di Malaysia, pendidikan, Islam, hubungan etnik dan pembangunan ekonomi.

Beliau mengambil alih peranan Duta Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Pro-Canselor Universiti Malaya sejak tahun 1989 dan Lembaga Gabenor Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sejaj 2005.

Raja Nazrin dianugerah Ijazah Sarjana Kehormat Pengurusan Bisnes dari Cranfield Institute of Technology, United Kingdom pada 1993 dan pada 1999, baginda dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Ekonomi daripada Universiti Soka, Jepun.

Sebelum bertemu jodoh dengan Zara Binti Salim Davidson, baginda pernah mendapat jolokan ‘Putera Idaman’ atau ‘Prince Charming’ bagi gadis-gadis Malaysia.

Selepas berkenalan selama lapan tahun, upacara perkahwinan Raja Nazrin, 51 dan Zara, 34, diadakan di Istana Iskandariah Bukit Chandan pada 17 Mei 2007, Kuala Kangsar.

Zara Salim Davidson diisytiharkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak dan dikurniakan Darjah Kerabat Sultan Azlan.

Pasangan diraja itu dikurniakan dua orang cahaya mata: Yang Mulia Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Raja Dr Nazrin Shah, enam tahun, dan Yang Mulia Raja Nazira Safya Shah Binti Raja Dr Nazrin Shah, tiga tahun.